
BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN PELENGKAP USAHA MELAKA PERKASA BIDANG AKADEMIK
TANJUNG BIDARA 22 Januari – Inisiatif Bantuan Awal Persekolahan menjadi pelengkap kepada usaha berterusan Kerajaan Negeri bagi memastikan anak Melaka terus menggapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran.
Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, inisiatif kerajaan itu amat bermakna buat penjaga atau ibu bapa kurang berkemampuan dalam menyediakan keperluan persekolahan murid dan pelajar di negeri ini.
“Menerusi inisiatif ini murid atau pelajar menerima bantuan RM150 setiap seorang, mungkin tidak terlalu besar namun memadai dan amat membantu dalam meringankan beban ibu bapa.
“Diharapkan penerima memanfaatkan sepenuhnya bantuan disalurkan, gunakan untuk membeli keperluan yang boleh membantu murid dan pelajar Melaka mencapai kecemerlangan dalam akademik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ade Putra, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Japerun Tanjung Bidara, Ahmad Warid Ismail; Pengetua SMK Ade Putra, Zaliza Md Zali serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Ade Putra, Dr. Mohd Zulkarnain Mohd Nor.
Abdul Hakim berkata, pada majis itu agihan Bantuan Awal Persekolahan melibatkan seramai 572 pelajar SMK Ade Putra yang juga dalam kalangan anak jati Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.
“Kerajaan Negeri amat peka dan mengambil berat mengenai pencapaian akademik anak Melaka. Bagi peringkat negeri sendiri banyak bantuan disalurkan oleh pelbagai agensi, bermula sekolah rendah hingga kepada institusi pengajian tinggi dalam pelbagai peringkat pengajian,” katanya.
Bantuan Awal Persekolahan adalah bantuan tunai secara sekali bayar berjumlah RM150 disalurkan kepada 5.2 juta murid dan pelajar, satu inisiatif kerajaan mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


