
‘BANTUAN INI AMAT BERMAKNA BUAT KAMI’ – ASNAF
LENDU 29 Mei – Asnaf dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu bersyukur apabila terus-menerus disantuni wakil rakyat dan pelbagai agensi yang menghulurkan pelbagai bantuan kepada mereka.
Bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Lendu, golongan kurang bernasib baik itu juga telah disantuni dengan penyampaian kit makanan berupa barangan keperluan asas yang disumbangkan Perbadanan Melaka (MCORP) dan Perbadanan Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ).
Salah seorang penerima, Noraida Baharudin, 48, menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterima dan menyifatkan bantuan diterimanya sangat bermakna bagi golongan kurang berkemampuan.
“Saya sangat bersyukur kerana sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam menyediakan keperluan harian, terutamanya menjelang Hari Raya Aidiladha yang hampir tiba.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Barangan Keperluan Asas sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Lendu yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Japerun Lendu, di sini, pada Selasa.
Nada sama turut disuarakan Nordiana Ahmad Nordin, 43, yang menyifatkan selain menyantuni golongan asnaf, WRUR juga telah mendekatkan rakyat dengan pemimpin setempat.
“Bagi saya, bantuan ini amat bermakna, mungkin tidak seberapa bagi orang lain tapi bagi kami ia rezeki dan tanda ingatan, terima kasih kepada pemimpin, MCORP dan Perbadanan SM-WEZ,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.