
BANTUAN RAMADAN, SYAWAL BANTU MUALAF MELAKA TERUS MELANGKAH
KESIDANG 8 Februari – Kebajikan golongan mualaf di Melaka terus diberi perhatian menerusi Bantuan Persediaan Ramadan dan Syawal bagi tahun 2026 yang ditingkatkan kepada RM1.27 juta berbanding RM1.16 juta tahun 2025.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, peruntukan tahun 2025 telah dibelanjakan sepenuhnya melibatkan pelbagai komponen sokongan asas kepada golongan mualaf.
“Justeru, peningkatan peruntukan bagi tahun 2026 selari dengan usaha untuk menambah baik kualiti hidup penerima dalam mendepani cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Bagi tahun 2026, beberapa penambahbaikan turut dilaksanakan, antaranya bantuan dewasa dikekalkan pada kadar RM450 dengan peningkatan bilangan penerima kepada 2,150 orang, menjadikan jumlah keseluruhan RM967,500,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Agihan Bantuan Persediaan Ramadan dan Syawal Mualaf Negeri Melaka Tahun 2026 di Kompleks Darul Huda Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah.
Hadir sama Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad dan Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, bagi bantuan kanak-kanak mualaf, sebanyak RM200 disalurkan kepada 100 penerima melibatkan peruntukan RM20,000.
“Kit Raya Mualaf pula dinaikkan kepada RM70 bagi 2,150 penerima dengan jumlah keseluruhan RM150,500 selain bantuan Syawal turut ditingkatkan kepada RM150 bagi 750 penerima, melibatkan peruntukan sebanyak RM112,500.
“Bantuan ini bukan sekadar bersifat material, sebaliknya menjadi sokongan psikososial, dorongan rohani serta bukti bahawa golongan muallaf tidak berjalan sendirian dalam perjalanan iman mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


