
BAP: PELUANG PMKS MELAKA KEMBANG PERNIAGAAN DENGAN PEMBIAYAAN SEHINGGA RM400,000
AYER KEROH 31 Januari – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) digalakkan merebut peluang apabila Program Business Accelerator Programme (BAP) kini dibuka semula bagi membantu pertumbuhan perniagaan tempatan melalui kemudahan pembiayaan bersasar.
Program kendalian SME Corporation Malaysia (SME Corp) itu menawarkan pembiayaan sehingga RM400,000 dengan kadar keuntungan serendah 3.5 peratus setahun selain menyediakan rebat atau geran sehingga 40 peratus kepada syarikat yang layak.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soo Chin berkata, tempoh pembiayaan sehingga 36 bulan turut disediakan bagi memberi ruang kepada usahawan mengurus aliran tunai dan memperkukuh operasi perniagaan, khususnya dalam fasa pengembangan.
“Antara skop pembiayaan yang ditawarkan di bawah program ini merangkumi pembelian bahan mentah serta perbelanjaan operasi seperti sewaan premis, gaji dan bayaran utiliti.
“Ia turut meliputi pembelian mesin dan peralatan, penerapan elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), pensijilan produk, pengiklanan dan promosi serta adaptasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
“Saya berharap usahawan khususnya dari Negeri Melaka dapat memanfaatkan program BAP ini sebagai platform memperkasa PMKS agar lebih berdaya saing, mampan dan mampu menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran semasa,” katanya.
Menurutnya, bagi syarat kelayakan, syarikat PMKS mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Syarikat 1965 atau 2016, Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 atau Ordinan Pelesenan Perdagangan 1948 bagi Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, pemohon perlu memiliki Sijil Akuan Status PMKS yang sah, sekurang-kurangnya 60 peratus ekuiti tempatan, lesen perniagaan yang sah daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta telah beroperasi sekurang-kurangnya 12 bulan dari tarikh permohonan.
“Keutamaan turut diberikan kepada syarikat yang mempunyai rekod prestasi kewangan yang baik dengan institusi kewangan.
“Antara dokumen diperlukan bagi permohonan ialah salinan kad pengenalan pemohon dan penjamin, penyata bank perniagaan terkini, penyata kewangan minimum dua tahun, gambar profil pemilik perniagaan serta bukti premis perniagaan seperti gambar atau rakaman video,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


