
BARANGAN KEPERLUAN DI MELAKA DIJAMIN CUKUP SEPANJANG MUSIM PERAYAAN
ALOR GAJAH 14 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka memberi jaminan bekalan barangan mentah seperti minyak, gandum dan gula mencukupi sepanjang musim perayaan bermula Tahun Baharu Cina (TBC) sehingga Aidilfitri pada April depan.
Pengarah KPDN Melaka Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, sehubungan itu pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pembekal agar bekalan stok barangan ditambah antara lima hingga 10 peratus.
“Buat masa ini KPDN tidak menerima sebarang laporan atau aduan ada berlaku kekurangan dan bekalan tidak cukup di Melaka.
“Malahan apabila dekat musim perayaan kami juga telah pergi ke gudang pembekal dan meminta supaya ditambahkan stok bekalan barangan.
“Ini kerana kita tidak mahu berlakunya kekurangan semasa musim perayaan memandangkan selepas TBC kita akan menyambut bulan Ramadan dan kemudian Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pelancaran Skim Harga Maksimum Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 KPDN Melaka, disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Kelemak, semalam.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soh Chin dan Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas.
Mengulas lanjut Mohd Hazimin berkata, selain musim perayaan pihaknya juga akan memastikan kekurangan bekalan barangan tidak berlaku sepanjang Tahun Melawat Melaka 2.0.
“Kita tidak mahu dalam Kerajaan Negeri giat menyambut Tahun Melawat Melaka 2.0 berlakunya kekurangan, ia kena cukup itu penting.
“Untuk itu kita juga akan berhubung dengan rakan strategik lain bagi memastikan bekalan barangan sentiasa mencukupi jika tidak ia akan memberi masalah kepada rakyat.
“Jika harga murah, bekalan barangan tiada pun tidak boleh, kita enggan situasi ini berlaku,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


