Sorting by

×

BARU DUA BULAN, ORANG MELAKA RUGI RM11.78 JUTA JADI MANGSA JENAYAH SIBER

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 11 Mac – Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 591 kes penipuan dalam talian telah direkodkan di Negeri Melaka membabitkan nilai kerugian RM11.78 juta.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, angka itu amat membimbangkan ekoran nilai kerugian dan kes yang direkodkan meningkat berbanding tahun lalu.

Jelas beliau, pada dua bulan pertama tahun lalu, jumlah kes yang direkodkan adalah sebanyak 398 kes dengan nilai kerugian RM9.06 juta.

“Antara kes tertinggi dilaporkan adalah membabitkan penipuan pembelian dalam talian, selain penipuan pelaburan dan ‘love scam’.

“Berkait penipuan pembalian barangan dalam talian, antara usaha yang kita lakukan adalah menggerakkan kempen Cash On Delivery (COD), iaitu menggalakkan orang ramai membayar ketika barangan sampai, khususnya ketika musim perayaan ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Walkabout Kempen Internet Selamat 2026 @ Bazar Ramadan Masjid Al-Alami MITC, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee dan Pengarah MCMC Negeri Melaka Khairol Nizam Mohd Mostar.

Menurut Fairul Nizam, di bawah Jawatankuasa Taskforce Menangani Judi Atas Talian, Internet Fraud dan Jenayah Siber Negeri Melaka, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha menerusi penganjuran kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat mengenai jenayah siber.

Malah, ujar beliau, program itu turut diperluaskan pada program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), selain kesedaran turut digerakkan pemimpin setempat.

“Walaupun usaha berterusan digerakkan, namun kes penipuan dalam talian ini masih lagi berlaku. Jadi, perkara ini juga perlu melibatkan kesedaran di peringkat masyarakat itu sendiri.

“Jika semua ambil cakna dan bersama membantu masyarakat sekeliling, insya-Allah masalah melibatkan ‘scammer’ ini dapat kita kurangkan,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

476
Kongsi :
Previous post ‘FREE MARKET’ BAWA SENYUMAN KEPADA ORANG ASLI MACHAP JAYA
Next post SERBUAN ‘CALL CENTRE’ BONGKAR MAKMAL DADAH RM86.78 JUTA