
BATIK MELAKA KE PERSADA ANTARABANGSA
PAYA RUMPUT 20 November – Sebelum ini hanya beroperasi di bahagian belakang dapur rumah, kini selepas kira-kira empat tahun produk hasil sentuhan tangan Alina Batik ‘terbang’ hampir ke serata dunia.
Sinonim dengan pengeluaran Batik Melaka, setiap karya dihasilkan Alina Batik mengetengahkan identiti negeri bersejarah ini sama ada bermotifkan bunga, bangunan, makanan atau budaya masyarakat berbilang kaum di Melaka.
Malah Alina Batik yang diusahakan pasangan suami isteri Mohammad Bakhtiar Aman, 52, dan isteri Dr. Mislina Atan @Mohd Salleh, 48, membuktikan bahawa batik Melaka mampu dikomersialkan.
Malah, jika sebelum ini batik lebih sinonim dengan negeri pantai timur seperti Terengganu dan Kelantan, tetapi Batik Melaka juga sudah mula dikenali selain mempunyai peminat tersendiri.
Menurut Dr. Mislina, tercetusnya idea untuk menghasilkan Batik Melaka ketika dia dalam proses untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) apabila banyak terdedah dengan dasar kerajaan berkaitan elemen dan nilai warisan yang perlu dijaga.
“Apa yang saya fikirkan adalah batik, kerana selain minat dengan seni bagi saya kita mesti memeliharan warisan yang ada meskipun pada ketika itu kami tiada pendedahan meluas berkaitan pengusahaan batik.
“Alhamdulillah, usaha membangunkan Batik Melaka dapat diterima ramai meskipun pada permulaan Pasar Besar Alor Gajah menjadi lokasi di mana kami mula memasarkan produk dihasilkan selain kami tampilkan identiti Melaka seperti bermotifkan bunga kesidang, atap rumah Melaka dan Baba Nyonya.
“Sudah pasti sepanjang tempoh itu ada cabarannya namun kami berjaya tempuhi dalam mengembangkan Alina Batik sehinggakan kini kami mempunyai lebih 50 produk bukan sahaja kain pasang, baju batik, tudung tetapi juga pelbagai cenderamata,” katanya ketika ditemui di Galeri Alina Batik, di Taman Paya Rumput Perdana.
Menurutnya yang juga seorang pensyarah, Alina Batik masih mengekalkan pembuatan secara tradisional menerusi proses mencanting, terap (blok), sutera saring dan akhirnya sekali ‘tie and dye’.
“Kerana minat mendalam terhadap perusahaan batik, kami kini mempunyai empat segmen iaitu Kanda, khas untuk pakaian lelaki seperti kemeja; Dinda untuk wanita antaranya kain pasang, baju kurung termasuk tudung; Melakar Memori pula melibatkan kit mewarna dengan 12 pilihan yang memaparkan identiti Melaka dan yang terakhir oleh-oleh.
“Selain menghasilkan batik, kami juga aktif bekerjasama dengan syarikat luar dengan memberi pendedahan tentang batik kepada pelajar sekolah selain perusahaan kami secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat seperti menjahit baju, membuat bingkai kayu dan patung.
“Malah anak-anak istimewa juga turut dibantu apabila kami turut bekerjasama dengan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK). Anak-anak ini menghasilkan cenderamata seperti batu seremban,” katanya.
Menurut Dr. Mislina, dalam usaha memelihara dan memulihara batik pihaknya turut bernaung di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


