
BATU LATERIT KUBU ERA BELANDA DITEMUI DI TAMAN LARANGAN
SERI NEGERI 21 Julai – Penemuan batu jenis laterit di tapak kajian ekskavasi arkeologi di Taman Larangan berhadapan Muzium Istana Kesultanan Melaka dipercayai sebahagian daripada struktur benteng pertahanan era Belanda, sekali gus membuka lembaran baharu terhadap sejarah Kota Melaka.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, bongkahan batu tersebut dikenal pasti sebagai sebahagian daripada ‘Bastion Hendrica Louisa’, salah satu kubu penting yang dibina sepanjang jajaran Kota Melaka semasa zaman penjajahan Belanda.
“Penemuan ini memberikan bukti awal kehadiran struktur binaan sejarah seperti tembok kota atau benteng dan memiliki nilai tinggi daripada sudut arkeologi serta warisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Leng Chau Yen (PH–Banda Hilir) mengenai batu laterit di tapak kajian ekskavasi arkeologi di Taman Larangan pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebagai agensi pelaksana telah mengambil beberapa langkah sewajarnya bagi melindungi tapak berkenaan.
“Antara tindakan diambil, membersihkan keseluruhan permukaan kawasan penemuan, mengekalkan kedudukan batu laterit dalam keadaan asal dan mengekalkan kawasan itu sebagai tapak sejarah.
“Semua batu laterit yang ditemui telah didokumenkan dan disimpan dengan teliti untuk tujuan penggunaan semula. Setiap batu yang berpotensi direkodkan lokasi dan konteks asalnya bagi membantu kerja arkeologi,” katanya lagi.
Sementara itu Jabatan Warisan Negara (JWN) turut memberikan khidmat nasihat menerusi proses permohonan Kebenaran Merancang di bawah Seksyen 40, Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
“Antara syaratnya ialah pelantikan Ahli Arkeologi Berdaftar (AAB) sebagai penasihat profesional yang akan membantu menilai impak arkeologi dan memastikan kerja-kerja pembangunan selari dengan prinsip pemuliharaan warisan.
“Tindakan ini bukan sahaja memelihara bahan fizikal bersejarah, malah memperkukuh naratif sejarah Melaka sebagai kota pertahanan penting di rantau ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.