Sorting by

×

BAU BUSUK BONGKAR PENEMUAN MAYAT DALAM KERETA DI MITC

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 13 Januari – Bau busuk yang disangka berpunca daripada bangkai haiwan membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di dalam sebuah kereta yang diparkir di kawasan parkir di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, tengah hari tadi.

Saksi kejadian, Khairul Ikhwan Abdol Sham, 24, berkata, bau itu disedari sekitar jam 1.30 tengah hari ketika dia dan rakannya yang meletakkan kenderaan di kawasan parkir itu baru selesai makan di sebuah restoran berhampiran.

Menurutnya, ketika melalui kawasan itu bau yang kuat dari arah sebuah kenderaan jenis Nissan Almera menarik perhatiannya sebelum dia menghampiri kereta tersebut.

“Tayar sebelah kereta pancit dan enjin mati namun apabila saya menjenguk ke dalam kereta, pada mulanya saya sangkakan bantal namun apabila mengamati saya ternampak susuk tubuh manusia di tempat duduk pemandu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.

Khairul Ikhwan berkata, keadaan susuk tubuh itu dalam keadaan posisi kepala tertunduk ke arah stereng.

“Keadaannya agak kehitaman dan mengeluarkan bau yang sangat kuat,“ katanya.

Susulan penemuan itu, dia segera menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan mayat lelaki berusia 37 tahun ditemui mereput di tempat duduk pemandu dalam sebuah kereta di parkir MITC di sini.

Pemeriksaan polis dalam kereta terbabit turut menemukan sebuah bekas kaca yang mengandungi kesan pembakaran arang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

734
Kongsi :
Previous post MAIM, YAPEIM TEROKA KERJASAMA DALAM PELABURAN EMAS