Sorting by

×

BAWA SUARA, PERJUANG HAK OKU MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 15 Februari – Suara dan hak orang kurang upaya (OKU) di negeri ini bakal diperjuangkan menerusi penubuhan Persatuan OKU Negeri Melaka yang telah dilancarkan secara rasmi.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, persatuan yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) itu kini mempunyai seramai 100 ahli merangkumi tujuh kategori OKU antaranya cacat penglihatan, pendengaran, mental dan autisme.

Beliau berkata, persatuan OKU itu akan berperanan sebagai platform rasmi dalam memperkasa komuniti berkenaan selain memastikan golongan itu tidak terpinggir.

Ia jelasnya, sekali gus menyahut aspirasi Kerajaan Negeri yang menekankan pendekatan inklusif serta memastikan tiada golongan tercicir dalam arus pembangunan dan kelestarian negeri di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MESRA).

“Menerusi persatuan ini, mereka (OKU) bukan sahaja boleh berkongsi suara dan memperjuangkan hak, bahkan boleh memperkuat jaringan sokongan sosial, pendidikan, pekerjaan termasuk menjaga kebajikan bagi semua ahli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Santai Bersama OKU Melaka 2.0 Dan Pelancaran Persatuan OKU di Kompleks Melaka Mall, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Mohd Faizal Mohd Zin serta kenamaan lain.

Menurut Kalsom, dengan penubuhan persatuan itu, ia juga diharap dapat menjadi medium untuk mengenal pasti dan mengetengahkan lebih ramai individu OKU yang mempunyai bakat serta potensi.

“Golongan OKU bukan sekadar kumpulan sasar sesebuah dasar, sebaliknya mereka adalah aset negeri yang mempunyai nilai dan keupayaan luar biasa.

“Melalui persatuan ini, kita mahu memperkukuh jaringan sokongan, memperjuangkan kebajikan serta memastikan suara komuniti OKU terus didengari dalam proses pembangunan negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

325
Kongsi :
Previous post TRADISI LIMAU MANDARIN KUKUHKAN SILATURAHIM DI MASJID TANAH
Next post TABUNG AMAL PENDIDIKAN ANAK-ANAK DUN PAYA RUMPUT DILANCARKAN