Sorting by

×

BAZAR DAN PERSEMBAHAN BUDAYA WARNAI PESTA DEEPAVALI 2025

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 Oktober – Sambutan Pesta Deepavali tahun ini dijangka lebih meriah dengan penganjuran Bazar Deepavali dan pelbagai program serta aktiviti di Jalan Little India yang sudah mula beroperasi minggu ini.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata Pesta Deepavali itu berlangsung selama dua minggu dan telah bermula pada 7 Oktober lalu.

Katanya, Bazar Deepavali menampilkan kira-kira 40 peniaga berlesen yang menawarkan pelbagai barangan seperti pakaian, makanan dan manisan tradisi masyarakat India.

“Selain bazar, persembahan pentas pula akan diadakan selama lima hari bermula 13 hingga 18 Oktober dengan pelbagai persembahan kebudayaan mewakili komuniti India seperti Malayalam, Telugu, Kannada, Hindu dan Singh.

“Pengunjung dan pelancong yang datang ke Melaka boleh menikmati suasana perayaan di Little India yang dihiasi dengan pertunjukan budaya serta jualan istimewa,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Hebahan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Melaka bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, di Konti RTM Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shanmugam berkata kemuncak sambutan dijadual berlangsung pada 17 Oktober (Jumaat) jam 8 malam dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang akan merasmikan Pesta Deepavali 2025.

“Tahun ini kita turut membawa artis jemputan khas untuk menghiburkan pengunjung dengan persembahan lagu-lagu moden bagi menarik golongan muda.

“Sebagai tanggungjawab sosial (CSR) pula, seramai 84 anak-anak yatim dan keluarga kurang berkemampuan dari sekolah-sekolah Tamil di seluruh Melaka turut dibawa membeli-belah di Little India sebagai persediaan menyambut Deepavali,” katanya.

Dalam pada itu, Shanmugam turut memaklumkan bersempena sambutan pesta cahaya itu, Kerajaan Negeri meneruskan inisiatif Jualan Rahmah Madani di beberapa lokasi termasuk di Alor Gajah dan Gadek pada 11 Oktober ini dengan tawaran istimewa harga ayam serendah RM8 seekor.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

466
Kongsi :
Previous post ZIARAH KASIH WRUR DUN KLEBANG DEKATI KOMUNITI, SEMAI KEPRIHATINAN
Next post TALI PINGGANG KETUA MENTERI JADI REBUTAN DI FIGHT NIGHT MUAYTHAI INTERNATIONAL 2.0