Sorting by

×

BAZAR DI MELAKA SEMAKIN MATANG, EKONOMI PENIAGA BERKEMBANG

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KLEBANG 25 Februari – Bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri ini terus menjadi lubuk rezeki buat peniaga kecil susulan sambutan luar biasa yang diterima saban tahun.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, ia sekali gus menunjukkan kematangan penganjuran bazar di negeri ini yang sentiasa menonjolkan elemen kreatif dalam menarik kehadiran pengunjung.

Menurut beliau, pujian juga wajar diberikan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang sentiasa memberikan sokongan kepada peniaga kecil untuk terus berkembang dan ia dibantu keempat-empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Alhamdulillah, kita melihat saban tahun penganjuran bazar ini telah menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi yang baik untuk peniaga kecil dan di pihak Kerajaan Negeri, kita akan terus memberikan sokongan.

“Setakat ini juga, saya bersyukur kerana tiada isu atau masalah timbul dalam penganjuran bazar di negeri ini di mana, hasil pertemuan dengan peniaga, rata-rata mereka berpuas hati dengan kelancaran dan sambutan.

“Malah, rakyat juga menyuarakan rasa gembira kerana tiada isu harga ‘cekik darah’ atau ketidakpuasan hati timbul pada penganjuran bazar tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni peniaga dan pengunjung Glam Bazar Klebang, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff; Penganjur Glam Bazar Klebang Abdul Rashid Omar serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Rais turut memuji pendekatan diambil MBMB yang berjaya mengatasi masalah kesesakan trafik di Bazar Aidilfitri Klebang berbanding tahun sebelumnya.

Menurut beliau, kelancaran trafik itu secara tidak langsung memberi keselesaan kepada pengunjung dalam dan luar Melaka untuk membeli-belah pelbagai persiapan raya di bazar berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

364
Kongsi :
Previous post TIADA KLUSTER TIBI DI MELAKA, ORANG RAMAI DINASIHATKAN SENTIASA BERWASPADA
Next post DATARAN BANDARAYA MBMB TERUS JADI PILIHAN IFTAR SANTAI BERSAMA KELUARGA