Sorting by

×

BAZAR IKONIK BANDA HILIR ‘MELETUP’ LEBIH AWAL

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BANDA HILIR 17 Februari – Meskipun belum tiba Ramadan, namun Bazar Ikonik Banda Hilir sudah mula mendapat tempias apabila menerima sambutan luar biasa selepas dibuka seminggu lebih awal.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya menerima pelbagai maklum balas dan ucapan terima kasih daripada peniaga bazar berkenaan susulan kebenaran operasi awal yang diberikan.

Katanya, peniaga menyifatkan pembukaan awal bazar berkenaan memberi kelebihan dari segi pengurusan stok dan aliran tunai perniagaan.

“Alhamdulillah, kita menerima khabar positif selepas memberi kebenaran kepada peniaga di bazar ikonik Aidilfitri untuk beroperasi seminggu awal bermula Khamis lalu.

“Langkah proaktif MBMB ini dilihat bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan peniaga, malah menyemarakkan lagi suasana menjelang musim perayaan.

“Maklum balas yang saya terima, ada peniaga sudah mula rancak berniaga dan sebahagian mereka telah memperoleh pulangan awal bagi membayar sewa tapak kepada penganjur,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan memaklumkan kebenaran operasi lebih awal itu diberikan berikutan cuti panjang sempena sambutan Tahun Baharu Cina, awal Ramadan dan Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan.

“Kita sedia maklum Banda Hilir merupakan lokasi pelancongan utama negeri ini, justeru kebenaran pembukaan awal bazar ikonik ini dapat merancakkan ekonomi tempatan selain memberi peluang kepada pengguna membuat persiapan Aidilfitri secara lebih terancang.

“Jumlah kehadiran pengunjung ke Banda Hilir juga menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sebaik bazar itu beroperasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

407
Kongsi :
Previous post ‘PAYA RUMPUT RUMAH KITA’, SLOGAN KERAMAT SATUKAN 91,000 RAKYAT
Next post PASTIKAN TIADA RAKYAT ‘IKAT PERUT’