Sorting by

×

BEKAS KOMANDO SERTAI PARAKOM, BANTU MASYARAKAT SETEMPAT

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

LENDU 1 Jun – Meskipun sudah bersara dari perhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih 35 tahun namun segala pengalaman dan kemahiran dimiliki tidak disia-siakan begitu sahaja, sebaliknya dimanfaatkan untuk membantu penduduk sekelilingnya.

Sukarelawan Paramedik Komuniti (PARAKOM) Masjid Tanah, Mohamad Husin Dalil, 68, berkata, meskipun sudah berumur namun dia tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak aktif dalam aktiviti melibatkan komuniti setempat.

Katanya, sepanjang berkhidmat bersama ATM dia didedahkan dengan teknik bantuan kecemasan termasuk merawat anggota yang mengalami kecederaan ketika terlibat dalam operasi.

“Semasa berkhidmat dulu kita sudah diajar dan pernah berdepan bagaimana untuk menangani situasi atau memberi bantuan awal kepada rakan sepasukan yang tercedera ketika berada di hutan.

“Berikutan itu saya sertai PARAKOM kerana berasa rugi jika pengetahuan amat berguna ini pada waktu kecemasan ini tidak dikongsi bersama komuniti,

“Malah baru-baru ini juga rakan kami dapat membantu dengan memberi bantuan awal kecemasan kepada remaja lelaki yang patah tangan sebelum pegawai perubatan tiba untuk membawanya ke hospital,” katanya.

Mohamad Husin berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Japerun Lendu, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Mohamad Husin berkata, dengan adanya PARAKOM di setiap kampung ia akan membantu mempercepatkan lagi bantuan untuk sampai ke penduduk yang ditimpa sesuatu kemalangan.

“Berlaku kecederaan atau kemalangan ini kita tidak tahu bila kerana tidak dapat dijangka oleh itu dengan adanya PARAKOM ia amat membantu.

“Insya-‘Allah dengan kelengkapan dan kemahiran yang ada kita dapat bertindak serta memberi bantuan semampunya,” katanya.

Bekas pesara tentera itu berkata, setiap sukarelawan PARAKOM mestilah mengikuti kursus asas Tahap Satu sebelum membolehkan mereka ke kursus berikutnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1266
Kongsi :
Previous post 848 PREMIS KAMPUNG DUN LENDU LENGKAP ALAMAT DIGITAL
Next post 1,000 PESERTA WARNAI LARIAN TUN TEJA