
BELA NASIB PEKERJA DI MELAKA
TANJUNG BIDARA 14 Jun – Kesatuan Sekerja di negeri ini disaran untuk lebih proaktif dalam menjaga kebajikan pekerja dalam pelbagai sektor di Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, di Melaka setakat ini terdapat hampir 70 kesatuan sekerja yang telah diwujud dan didaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS), membabitkan seramai 60,000 ahli.
Pada masa sama, beliau turut menyarankan golongan pekerja untuk menyertai kesatuan yang diwujudkan mengikut sektor pekerjaan masing-masing supaya mereka mendapat manfaatnya.
“Kesatuan sekerja ini merupakan satu kesatuan yang melindungi hak-hak pekerja. Justeru pekerja di negeri ini perlu melihat bagaimana peranan yang dimainkan kesatuan ini untuk membantu mereka.
“Apabila menjadi ahli, mereka ini (pekerja) boleh mendapat perlindungan dan pandangan kedua sebelum apa-apa tindakan diambil.
“Jadi, saya amat berharap peranan yang dimainkan kesatuan sekerja di bawah JHEKS ini dapat menjadi satu entiti yang dapat membela kebajikan pekerja di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) JHEKS bersama Komuniti Negeri Melaka di Villa d’Acqua Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Hadir sama, wakil Menteri Sumber Manusia Dr. Kelvin Yii Lee Wuen; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem dan Timbalannya Siti Faizah Abdul Azis; Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja JHEKS Mohd Asri Abdul Wahab; Timbalan Presiden II, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) Azman Shah Abdul Rahman; Pengarah JHEKS Melaka dan Negeri Sembilan Hafizah Nabilah Mohd Idris serta lain-lain kenamaan.
Terdahulu, pada program itu, sebanyak 21 kesatuan sekerja di Melaka telah mendapat kelulusan permohonan dan akan menerima bantuan geran berjumlah RM359,998 di bawah Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS).
Dianggarkan lebih 10,000 penduduk setempat dan rakyat Melaka membanjiri Villa d’Acqua bagi menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
Antara pengisian program yang diadakan adalah Riverside Fun Walk, pertandingan memancing, pertandingan Sukan Rakyat, gunting rambut percuma, tukar minyak hitam motosikal percuma, topi keledar percuma, kenduri rakyat serta penyampaian sumbangan kembali ke sekolah.
Selain itu, program tersebut turut mendapat sokongan daripada agensi dan jabatan kerajaan melalui pelbagai perkhidmatan, termasuklah pemeriksaan kesihatan, klinik pergigian bergerak, kaunter bayaran saman trafik serta kaunter cukai taksiran.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.