
BELANJAWAN 2026: BANTUAN UNTUK RAKYAT JADI ‘TOP WISH’ ORANG MELAKA
AYER KEROH 10 Oktober – Bantuan dan sumbangan tunai ‘one-off’ menjadi antara harapan rakyat Melaka menjelang Pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 4 petang ini.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati rata-ratanya menyifatkan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan modal mula niaga wajar diteruskan.
Bagi penjaja kecil, Rohani Salim, 50, bantuan kewangan tersebut dapat memberi kelegaan buatnya untuk menjalankan perniagaan selain meneruskan kelangsungan hidup.
Tambah Rohani, kenaikan kos sara hidup rakyat ketika ini perlu diambil perhatian dalam menilai bentuk bantuan yang bakal diberikan.
“Teruskan segala inisiatif yang baik seperti bantuan modal untuk peniaga mula niaga supaya penjaja macam kami ini dapat meniaga lebih selesa.
“Bantuan modal itu bukan sahaja digunakan untuk beli bahan mentah tetapi boleh tambah kelengkapan dan peralatan meniaga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Siti Suhanafiah Soefjan, 42, turut berkongsi nada yang sama dan berharap segala bentuk bantuan yang memberi manfaat kepada rakyat diteruskan.
Dia yang juga penjawat awam berkata, bukan sahaja bantuan berupa one-off tetapi aspek bantuan pendidikan, kenaikan gaji dan geran perniagaan juga perlu diberi perhatian sama kerana ia akan memberi impak kepada segenap lapisan masyarakat.
“Saya sangat berharap ada berita baik untuk rakyat Malaysia seperti kenaikan gaji untuk sektor awam, mahupun swasta.
“Selain itu, inisiatif seperti bantuan SARA, STR, bantuan pendidikan, diskaun pinjaman pendidikan dan jualan RAHMAH wajar diteruskan lagi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.