Sorting by

×

BELANJAWAN 2026: LEBIH RM700 JUTA RANCAKKAN SEKTOR PELANCONGAN

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 10 Oktober – Kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah lebih RM700 juta bagi merancakkan sektor pelancongan pada tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, peruntukan terbesar iaitu RM500 juta akan dikhususkan bagi menjayakan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Selain itu, kata beliau, RM60 juta pula disalurkan sebagai dana galakan promosi, pemasaran dan penganjuran acara pelancongan serta aktiviti kebudayaan, manakala RM50 juta lagi bagi menyokong pengusaha seni dan warisan menjana pendapatan seperti penggiat karya kraf, batik dan tenunan.

“RM50 juta turut disediakan sebagai geran padanan menggalakkan penerbangan antarabangsa dan carter ke Malaysia, selain RM25 juta bagi menambah baik kemudahan pelancongan termasuk memulihara tapak UNESCO seperti Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak; Lembah Lenggong, Perak; dan FRIM Forest Park, Selangor yang baru diisytihar tahun ini.

“Pada masa sama, RM20 juta lagi diperuntukkan untuk mempergiat program pelancongan kesihatan oleh Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia,” katanya ketika berucap membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat di Parlimen, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan menyasarkan mampu menarik 47 juta pelawat dan menjana pendapatan pelancongan berjumlah RM329 bilion.

“Ini bakal menjadi suatu anjakan yang menjanjikan limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, usahawan pelancongan, komuniti desa, pengusaha kraf serta rakyat
seluruhnya,” kata beliau.

Dalm pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Melaka dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di atas kejayaan Peluncuran Tahun Melawat Malaysia 2026 di negeri bersejarah bulan lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

298
Kongsi :
Previous post MELAKA CERIAKAN DEEPAVALI 84 MURID SJKT
Next post BELANJAWAN 2026: RM3 BILION GANTI PAIP USANG DI MELAKA, LIMA NEGERI