Sorting by

×

BELANJAWAN 2026 : MYBHA HARAP SUARA PEMAIN INDUSTRI DIDENGARI

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KOTA LAKSAMANA 29 September – Pemain industri pelancongan berharap suara mereka mendapat perhatian dan diterjemahkan kepada tindakan nyata oleh kerajaan, dalam merangka Belanjawan 2026.

Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr. Sri Ganesh Michiel, berkata, kerajaan perlu memahami keluhan serta harapan pihak industri pelancongan secara langsung.

“Pemain industri pelancongan menyertai sesi libat urus bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyuarakan pendapat masing-masing bagi tindakan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan 2026 Pemain Industri Pelancongan dan Pembuatan Bersama Perdana Menteri di sebuah hotel di sini, pada Sabtu..

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Zamzuri Abdul Aziz.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta lain-lain barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas mengenai Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026), Dr. Sri Ganesh berkata pihaknya berharap peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain industri berdaftar dan berlesen.

“Saya mewakili Malaysian Tourism Federation (MTF) mengharapkan kerajaan dapat menyediakan geran padanan kepada persatuan sebagai barisan hadapan industri.

“Ia penting untuk melaksanakan pelbagai promosi, program libat urus dan tindakan strategik bagi memastikan VM 2026 mencapai kejayaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post WTC PLATFORM PERKUKUH KERJASAMA SERANTAU
Next post MELAKA MAHU PATEN PERATURAN KONDA KONDI