
BELANJAWAN 2026: PENJAWAT AWAM TERIMA BANTUAN KHAS KEWANGAN RM500
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan khas berkenaan, mengambil kira peningkatan gaji 2026 yang melibatkan penambahan RM18 billion disusuli pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan.
“Bantuan Khas Kewangan turut diberikan kepada semua pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen sebanyak RM250.
“Bantuan ini akan disalurkan pada awal Mac 2026 sempena menyambut Aidilfitri,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa kemudahan lain sebagai penghargaan kepada seluruh penjawat awam, yang saban hari menjalankan amanah serta berkhidmat menjayakan dasar-dasar MADANI demi kesejahteraan rakyat.
Anwar berkata kerajaan akan menambah baik kemudahan perumahan penjawat awam antaranya merangkumi hampir RM2.2 bilion disediakan bagi membina, menyelenggara dan membaiki kuarters termasuk doktor, jururawat, tentera, polis, guru, bomba dan penjara.
“Skim Pembiayaan Perumahan Muda di bawah LPPSA akan dilanjutkan sehingga 31 Dis 2026, yang dijangka memanfaat sehingga 48 ribu penjawat awam muda di bawah umur 30 tahun.
“Had kelayakan maksimum pembiayaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan dinaikkan sehingga RM1 juta, selaras dengan pelarasan gaji dan peningkatan harga pasaran hartanah,” kata beliau dan menambah inisiatif itu akan diperkenalkan seawal suku keempat tahun depan.
Perdana Menteri berkata kerjaan turut bersetuju memperluas pelaksanaan Bantuan Insentif Berasaskan Prestasi kepada kumpulan pengurusan dan profesional dalam perkhidmatan awam Persekutuan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Beliau berkata langkah ini bagi mengiktiraf prestasi cemerlang penjawat awam yang lama berkhidmat tetapi menunggu peluang kenaikan pangkat disebabkan kekangan struktur perjawatan.
“Melalui peluasan ini, pegawai yang berada dalam skim perkhidmatan yang kenaikan pangkatnya hanya tertakluk kepada kekosongan jawatan dan telah berkhidmat sekurang-kurangnya enam atau lapan tahun tertakluk kepada gred jawatan semasa serta menunjukkan prestasi yang baik dan cemerlang, akan diberikan insentif khas bersamaan nilai satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada gred semasa yang akan dibayar secara bulanan,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata kerajaan akan menyediakan elaun sara hidup RM900 sebulan kepada penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Separa Biasiswa mulai 2026, malah akan meningkatkan jumlah penerima HLP Separa Biasiswa kepada 150 orang setahun berbanding 100 orang.
Beliau turut mengumumkan kenaikan gaji hakim sehingga 30 peratus mulai 1 Jan 2026 berikutan kali terakhir gaji hakim dinaikkan pada 2015, malah tidak menerima kenaikan gaji tahunan seperti skim perkhidmatan awam yang lain.
“Mereka juga tidak diizinkan untuk memegang jawatan dan perniagaan. Atas kesedaran kita, juga sistem badan kehakiman yang pernah dianggap tercalar, tapi berbangga badan kehakiman sekarang ke arah lebih wibawa, lebih integriti dan bebas,” kata beliau.
Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup kepada 4,000 pesara kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) daripada RM300 kepada RM500 sebulan.
Anwar berkata kerajaan juga bersetuju menyalurkan sumbangan khas RM500 bagi menghargai khidmat 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut dengan peruntukan RM35 juta.
Bagi menghargai pengorbanan dan keperwiraan anggota tentera khususnya pemegang Pingat Jasa Malaysia pula, beliau mengumumkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada hampir 120,000 pemegang pingat berkenaan dengan peruntukan RM60 juta.
Dalam pembentangan itu juga, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa semua anggota Jemaah Menteri, akan terus membuat pemotongan gaji 20 peratus. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.