Sorting by

×

BELIA MELAKA PERLU BERFIKIR DALAM TIGA DIMENSI – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDARAYA MELAKA 30 Oktober – Golongan belia di negeri ini diminta agar tidak hanya berfikiran di luar kotak, sebaliknya perlu berfikir dalam tiga dimensi demi masa hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, berkata pendekatan pemikiran tiga dimensi itu penting bagi membentuk generasi belia yang mampu menghadapi cabaran era digital dengan lebih bijaksana dan berpaksikan ilmu.

“Saya menyarankan agar belia Melaka jangan sahaja berfikiran di luar kotak tetapi mesti berpikir ke arah tiga dimensi, satu pemikiran yang merangkumi permasalahan hari ini, semasa dan penyelesaiannya pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Khaidhirah Abu Zahar, serta beberapa kenamaan lain.

Menurut Ab Rauf, daripada sejuta penduduk Melaka, 490,000 orang adalah golongan belia berumur antara 15 hingga 40 tahun yang wajar diberi perhatian dalam perancangan dan pembangunan negeri.

“Budaya membetulkan peradaban manusia dalam menghadapi masalah dunia digital mesti bermula di Melaka. Anak muda harus diasuh agar mampu mendepani masa depan penuh cabaran dengan ilmu serta kebijaksanaan,” katanya.

Ab Rauf menambah, apabila Melaka melangkaui fasa usia belia dalam pembangunan masyarakatnya, negeri ini akan menjadi model kepada pembentukan masyarakat harmoni yang berpandangan jauh dan realistik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

386
Kongsi :
Previous post RUU TRIBUNAL ANTIBULI FOKUS KEPADA USAHA PEMULIHAN
Next post LIMA FOKUS PEMIMPIN BELIA MELAKA