Beratus duit syiling lama, tembikar Zaman Kesultanan Melayu Melaka kurun ke-15 ditemui

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

TERENGGANU 1 APRIL – Beratus-ratus duit syiling lama, tembikar berusia 500 tahun dipercayai digunakan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka kurun ke-15 ditemui di Pulau Melaka dan Tapak Persisiran Tambak Kota Shahbandar Melaka.

Pada penemuan terbaharu itu di tapak Pulau Melaka, ditemui 30 kepingan kayu bersaiz kecil dan sederhana dipercayai rangka dan struktur kapal karam.

Antara artifak penting ditemui di dalam kapal lama itu ialah ratusan kepingan mata wang antaranya dari zaman Kesultanan Melaka iaitu ketika pemerintahan Sultan Mahmud (1488-1511).

ANTARA duit syiling dipercayai digunakan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditemui pengkaji sejarah.

Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pihaknya percaya masih terdapat struktur kapal yang tertimbus sekitar kawasan tapak struktur kapal ditemui.

“Saya jangkakan artifak yang kita temui ini amat bernilai dan akan diketahui setelah kita selesai membuat kajian lanjut mengenainya nanti.

“Yang kita temui sekarang ialah struktur depan kapal dan kita yakin akan temui lebih banyak artifak pada bahagian dalam kapal.

“Kerajaan negeri Melaka melalui PERZIM akan meneruskan kerja-kerja dan membuat kajian lanjut tentang penemuan struktur kapal ini.

“Mungkin jika mendapat pembiayaan atau ada inisiatif tajaan swasta kita tempatkan struktur kapal ini di Kompleks Muzium PERZIM Samudera di Klebang untuk tatapan pelawat,” katanya.

RANGKA dan struktur kapal yang ditemukan di tapak Pulau Melaka.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika melawat Muzium Terengganu sempena lawatan kerja tiga hari dan pelancaran ‘travel bubble’ Asam di Gunung, Garam di Laut anjuran Bahagian Promosi Pelancongan negeri Melaka.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Warisan dan Kebudayaan negeri Melaka berkata, penemuan artifak itu kemungkinan disebabkan perubahan aras air dan kerja-kerja penambakan laut sekitar Pulau Melaka dan Kota Syahbandar sejak 2015 sekali gus menyebabkan artifak berkenaan terlihat di permukaan lumpur dan daratan.

“Artifak lain yang dijumpai adalah pecahan dan taburan seramik seperti tembikar dan porselin dari Dinasti Ming dan Qing, mata wang Belanda jenis VOC dan mata wang Portugis.

“Manakala di Kota Shahbandar ditemui 27 unit artifak berupa porselin, seramik, tempayan, pendayung dan celadon yang dipercayai dari Dinasti Song (sekitar 960-1279),” katanya lagi.

Muhammad Jailani berkata, kawasan tersebut akan dikawal oleh pihak PERZIM daripada gangguan luar yang boleh merosakkan data arkeologi sekitar penemuan melalui bantuan kawalan keselamatan oleh pihak berkuasa negeri dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5362
Kongsi :
Previous post Belia Melaka dipelawa sertai sukarelawan MyVac
Next post Proses dokumentasi, analisis artifak giat dilakukan JWN dan PERZIM
Ubah saiz-+=