Sorting by

×

BERITA GEMBIRA BUAT PESAWAH DUN KLEBANG

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KLEBANG 12 Julai – Pesawah di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang yang sebelum ini berdepan masalah kekurangan air bagi tanaman mereka bakal menarik nafas lega apabila kerajaan meluluskan pembangunan infrastruktur sokongan bagi membantu meleraikan kesulitan dihadapi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, infrastruktur sokongan berupa pam air dan saluran paip itu merupakan antara bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam membela nasib pesawah, selain usaha dalam meningkatkan hasil padi Negeri Melaka.

Menurut beliau, infrastruktur tersebut bakal memberi manfaat kepada pesawah di beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang iaitu Kampung Pinang, Batang Tiga dan kawasan sekitarnya termasuk Bukit Kecil dan Gedong Lalang.

“Sebelum ini, saya telah membangkitkan kesulitan yang dihadapi oleh para pesawah DUN Klebang di kawasan ‘stress area’ yang mengalami isu kekurangan air pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri Melaka.

“Terima kasih diucapkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh serta semua yang terlibat dalam membantu mengemukakan permohonan dan mendapatkan peruntukan tambahan untuk menyelesaikan masalah dihadapi pesawah.

“Saya percaya usaha ini bukan sahaja membantu pesawah, bahkan pada masa turut membantu meningkatkan hasil pertanian Negeri Melaka sebagai sumber keterjaminan makanan masa hadapan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambah Ban Hong, infrastruktur sokongan itu merupakan langkah awal yang disediakan kerajaaan sementara menunggu satu lagi projek besar iaitu Projek Pengairan Dan Saliran Pertanian di Skim Pengairan Bukit Rambai yang melibatkan peruntukan RM43.5 juta dibangunkan tidak lama lagi.

Jelas beliau, projek pengairan tersebut merupakan satu langkah jangka panjang yang bukan sahaja membantu pesawah, bahkan petani meliputi keseluruhan kawasan Klebang seperti Pulau Gadong, Batang Tiga dan Bukit Rambai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

397
Kongsi :
Previous post WRUR DUYONG BAWA PENDEKATAN BAHARU
Next post LIMA PASANGAN MUALAF MELAKA SELAMAT DIIJABKABULKAN