
BERITA GEMBIRA BUAT WARGA SMK GHAFAR BABA
LENDU 23 Mei – Warga Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba (SMKGB), Masjid Tanah, hari ini mendapat khabar gembira iaitu sumbangan kipas gergasi dan peruntukan untuk membaiki bangunan diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, sebanyak dua unit kipas gergasi akan dipasang di dewan terbuka SMKGB, bagi memberikan keselesaan kepada guru dan pelajarnya.
Selain itu Ketua Menteri turut mengumumkan sumbangan peribadi beliau berjumlah RM10,000 bagi melancarkan lagi urusan yang melibatkan hal ehwal SMKGB.
“Kedua-duanya adalah sumbangan peribadi daripada saya, sementara itu Kerajaan Persekutuan juga sudah meluluskan peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan bangunan sekolah berkenaan yang dikategorikan sebagai tidak selamat susulan kerosakan pada bahagian bumbung.
“Jadi selepas ini bangunan berkenaan boleh digunakan semula dan memberikan faedah kepada pelajar. Kehadiran saya ke SMKGB turut menggamit nostalgia lama, kerana ini adalah tempat saya menimba ilmu dari tahun 1973 hingga 1977,” kata Ketua Menteri.
Lawatan beliau ke SMKGB adalah bersempena Pertandingan Mural ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ yang juga antara pengisian bagi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu.
Hadir sama Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Lendu merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah, Malek Kasim dan Pengetua SMKGB, Sahreah Md Zin.
Pada lawatan sama Ketua Menteri turut meneliti mural disiapkan warga SMKGB yang tersirat kemegahan, kehebatan dan keagungan sejarah Melaka, selain itu beliau juga meluangkan masa menyantuni warga SMK Ghafar Baba, termasuk menyertai permainan boling kelapa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.