
BERITA GEMBIRA UNTUK ORANG LENDU, SUNGAI UDANG
SUNGAI UDANG 29 Mei – Beberapa khabar gembira akan diumumkan untuk rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dan Sungai Udang pada penutup program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di dua kawasan itu pada esok dan lusa.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Lendu dan Sungai Udang merupakan DUN ketiga dan keempat dalam siri jelajah WRUR yang telah dimulakan tahun ini, di mana ia merupakan satu inisiatif merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri dengan mendengar denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, segala dapatan dan aduan yang dilontarkan sepanjang tempoh dua minggu berlangsungnya WRUR itu telah dikumpul dan ada di antaranya telah, sedang dan akan diselesaikan mengikut jabatan serta agensi terlibat.
“Sudah tentu menerusi WRUR ini, segala projek mahupun penyelesaian kepada masalah yang berlaku akan kita maklumkan kepada rakyat tempatan supaya keprihatinan kita sebagai pentadbir negeri pada hari penutup nanti.
“Apa yang pasti, setiap peranan dalam portfolio Exco melibatkan pelbagai jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menyantuni suara hati rakyat di setiap kawasan untuk dinilai dan diberikan maklum balas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Melaka bersempena WRUR DUN Sungai Udang di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Taman Desa Tun Razak, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad; Ketua Polis Melaka Dato’ Dzulkhairi Mukhtar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, gotong-royong itu merupakan antara lebih 100 program yang disusun sepanjang dua minggu berlangsungnya WRUR DUN Sungai Udang, di mana program tersebut bermotifkan kepada agenda kesejahteraan rakyat di bawah portfolio kesihatan
Menurut beliau, program itu melibatkan kira-kira 1,000 penduduk bersama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan bagi bersama-sama memerangi Aedes dan seterusnya mengekang wabak denggi daripada terus merebak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.