
BIDANG AEROANGKASA TARIKAN ANAK MUDA KE HARI TVET NEGARA 2025
AYER KEROH 11 Jun – Ruangan pameran Sektor Aeroangkasa antara yang menjadi tumpuan dan ‘persinggahan’ pengunjung pada Sambutan Hari TVET Negara 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Bertemakan ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’, sebanyak sembilan sektor utama TVET diketengahkan sepanjang tiga hari berlangsungnya sambutan sehingga Sabtu.
Dibawah Sektor Aeroangkasa terdapat 12 agensi yang mengambil bahagian dan membuka reruai dengan menawarkan pelbagai maklumat berkaitan bidang penerbangan.
Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Baru, Muar, Johor, Muhammad Danial Murshed, 16, berkata, peluang hadir ke Sambutan Hari TVET Negara memberi banyak pengetahuan tentang hala tuju selepas tamat tingkatan lima.
Katanya, dia juga bertuah kerana mendapat penerangan yang jelas dan menyeluruh berkaitan sektor yang terdapat dalam TVET terutama aeroangkasa.
“Sebelum ini saya hanya tahu kerjaya berkaitan penerbangan hanyalah sebagai juruterbang tetapi sebenarnya terdapat banyak cabang kerjaya dibawah industri ini.
“Dengan penerangan yang diberi berkaitan sektor penerbangan ini ia membuatkan saya tertarik untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ini selepas tamat tingkatan lima sekiranya terpilih,” katanya.
Pelajar tingkatan empat itu ditemui pada hari pertama Sambutan Hari TVET Negara 2025 di MITC, hari ini.
Muhammad Danial berkata, penganjuran sebegini memberi ruang dan memudahkan pelajar untuk melihat minat bidang yang ingin dipilih selepas tamat persekolahan tingkatan lima.
“Sebelum ini saya hanya tahu TVET berkaitan kemahiran tetapi tidak tahu bidang dan hala tujunya namun kehadiran ke sini hari ini memberi ilmu kepada saya.
“Disebalik TVET ini ternyata banyak bidang yang boleh kami pilih untuk menyambung pengajian termasuk mempunyai banyak bidang pekerjaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.