Sorting by

×

BILAL, PENGGALI KUBUR MELAKA TERIMA RM300 SEMPENA RAMADAN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PENGKALAN BATU 22 Januari – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memperuntukkan sejumlah RM224,400 sebagai inisiatif sekali bayar (one-off) kepada bilal dan penggali kubur di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, menerusi peruntukan itu, setiap bilal dan penggali kubur bakal menerima insentif sebanyak RM300 seorang yang memberi manfaat kepada kira-kira 748 orang.

Jelas beliau, secara keseluruhan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9.3 juta bagi pelaksanaan program sepanjang Ramadan tahun ini.

“Selain bilal dan penggali kubur, kita turut memperuntukkan sejumlah RM495,000 untuk ahli jawatankuasa masjid kariah, masjid kerajaan negeri dan masjid institusi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Melaka 1447H/2026M di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, malam tadi.

Menurut Rahmad, bersempena Ramadan tahun ini, peruntukan tertinggi yang disalurkan adalah membabitkan sumbangan kepada golongan asnaf, fakir dan miskin dengan jumlah RM6.6 juta.

“Jumlah itu merangkumi bantuan persediaan Ramadan, fidyah dan juga bantuan Syawal selain RM2.7 juta pula disalurkan bagi program pengimarahan lebih 1,000 masjid termasuk surau seluruh Melaka.

“Manakala bagi program Ihya Ramadan dan semua aktiviti yang dilaksanakan di masjid serta surau sebanyak RM1.6 juta diperuntukan,” katanya.

Tambah beliau, turut menerima manfaat adalah golongan mualaf apabila RM1.1 juta disalurkan untuk disumbangkan kepada 2,150 penerima.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN PELENGKAP USAHA MELAKA PERKASA BIDANG AKADEMIK
Next post MAIM SALUR SUMBANGAN BAIK PULIH SURAU, NAIK TARAF TANAH WAKAF PERKUBURAN