
BIMBINGAN MAIM BANTU LONJAK PERNIAGAAN YOGURT ‘MADE IN’ ALAI
TELOK MAS 25 Mac – Meskipun pada awalnya jualan minuman yougurt yang diusahakan pasangan suami isteri ini kurang mendapat sambutan, namun itu sama sekali tidak pernah mematahkan semangat mereka.
Situasi itu berlarutan bertahun lamanya, namun kesabaran dan tekad Muhammad Izzamuddin Zubir, 31, bersama isterinya Hurulain Mohd Nasir, 29, akhirnya terbalas apabila perniagaan itu mula berkembang.
Pada tahun ketiga perniagaan, minuman yogurt buah-buahan diberi nama Bam Barrel kini semakin dikenali dan mempunyai penggemar tersendiri.
Muhammad Izzamuddin berkata, dia bersama isteri membuat keputusan berhenti kerja dan pulang menetap ke Melaka untuk mencuba nasib mengusahakan minuman yogurt berbekalkan resepi yang diperoleh daripada seorang cef.
“Pada awalnya kami agak bergelut kerana ketika itu lokasi jualan kami hanyalah di pasar malam, Eye On Melaka dan Morten Night Market, di mana, setiap hari kami hanya mampu menjual empat hingga lapan cawan sahaja.
“Namun kami tidak pernah berputus asa kerana yakin untuk berjaya ia tidak datang bergolek dan akhirnya produk kami yang mempunyai empat pilihan perisa iaitu strawberi, kiwi, mangga dan blackcurrant mampu terjual 10 balang sehari.
“Jika dahulu kami menjualnya dengan menuang terus ke cawan tetapi kini ia sudah diberi wajah baharu menggunakan botol dan beg minuman kecil,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Bengkel Bam Barrel, Kampung Pengkalan Jajar, Alai, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, selain menggunakan wang simpanan sebagai modal permulaan perniagaan, barangan kemas isterinya juga terpaksa menjadi ‘korban’ bagi memastikan produk diusahakan mereka dapat bertahan.

Selain itu, dia turut berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang turut membantu menghulurkan bantuan modal pada tahun lalu bagi mengembangkan lagi perniagaan tersebut.
“Selain bantuan modal, MAIM turut menyediakan beberapa program termasuklah kursus dan latihan jangka pendek. Menerusi kursus ini banyak manfaat diterima dalam membantu memasarkan produk kami,” katanya.
Jelas Muhammad Izzamuddin, dalam usaha mengembangkan lagi produk keluarannya, mereka kini dalam perancangan mencari ejen jualan di setiap daerah yang akan bermula selepas Aidilfitri ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

