Sorting by

×

BISTARI DISERU PERKUKUH JARINGAN KERJASAMA RENTAS SEKTOR

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER KEROH 28 Disember – Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) disarankan untuk terus memperkukuhkan jaringan kerjasama merentas sektor agar usaha kebajikan dapat diteruskan secara menyeluruh.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pada masa ini peranan BISTARI melangkaui kebajikan semata-mata apabila turut memperkasa sokongan sosial menyantuni golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, selain itu BISTARI turut memperkukuhkan kesejahteraan komuniti secara menyeluruh dan berterusan.

“Sejajar dengan tekad Kerajaan Negeri ‘Melaka Sayang Rakyat: Demi Rakyat, Untuk Rakyat’ saya berharap BISTARI akan terus menjadi wadah yang menterjemahkan aspirasi ini ke peringkat akar umbi agar setiap inisiatif kebajikan benar-benar memberi manfaat serta aspirasi oleh segenap lapisan masyarakat.

“Saya menyeru agar BISTARI terus memperkukuh jaringan kerjasama merentas sektor termasuk agensi kerajaan, badan korporat serta komuniti setempat bagi membolehkan usaha kebajikan dijalankan secara berterusan dan menyeluruh.

“Hasrat kita di Melaka jelas, kita mahu tiada seorang pun yang terpinggir dan tiada suara dibiarkan tanpa pembelaan. Inilah nilai yang ingin kita sematkan dalam setiap dasar, gerak kerja dan denyut nadi perjuangan BISTARI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Makan Malam BISTARI Negeri Melaka, di sebuah hotel di Ayer Keroh, malam tadi.

Hadir sama menyerikan majlis Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Ab Rahman serta Pengerusi BISTARI, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abdul Aziz.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin bersama isteri Datin Ernie Aidilia Karim, barisan Exco Kerajaan Negeri serta isteri.

Ketua Menteri berkata, lebih empat dekad BISTARI telah membuktikan peranannya sebagai sebuah badan kebajikan yang menjadi jambatan kasih dan keprihatinan dalam mengiringi usaha para suami sebagai wakil rakyat untuk menghubungkan rakyat dengan kerajaan.

“Atas semangat itulah, secara peribadi saya amat menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan setiap ahli BISTARI, sama ada di peringkat kepimpinan mahupun mereka yang bekerja di belakang tabir yang terus konsisten mendokong agenda kebajikan negeri dari semasa ke semasa.

“Di peringkat kerajaan, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk membantu rakyat yang memerlukan namun kita juga memerlukan sokongan pelbagai pihak bagi sama-sama menyantuni kebajikan rakyat serta memastikan tiada yang tercicir dalam arus pembangunan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

425
Kongsi :
Previous post MELAKA ANJUR 3,000 PROGRAM AGAMA SETIAP TAHUN
Next post MAIM PERUNTUK RM3.15 JUTA UNTUK BANTUAN PERSEKOLAHAN ANAK ASNAF