Sorting by

×

BOM 227KG MASIH AKTIF DITEMUI DI JASIN

Masa Membaca:54 Saat

JASIN 15 Januari – Sebutir bom jenis aerial bomb seberat 227 kilogram yang masih aktif ditemui di kawasan tapak perindustrian Kampung Air Panas Bemban, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, penemuan itu dilaporkan oleh seorang pekerja tapak projek berusia 52 tahun menemui objek mencurigakan berkenaan ketika menjalankan kerja-kerja mengorek tanah di kawasan terbabit pada jam 3 petang.

Katanya, siasatan awal oleh Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin mengesahkan objek tersebut adalah bom jenis aerial bomb seberat 227 kilogram.

“Bom berkenaan mempunyai ukuran lilit di antara 27 hingga 36 sentimeter dengan panjang kira-kira 45 inci.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ia berada dalam keadaan berkarat namun masih aktif,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, proses pemusnahan bom berkenaan dijadualkan dilaksanakan pada hari ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan keselamatan orang awam serta kawasan sekitar.

Dalam pada itu, Lee menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat dan menjejaskan ketenteraman awam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

531
Kongsi :
Previous post MEDAN KRAFTANGAN TAMAN BOTANIKAL TAWAR PELBAGAI PILIHAN UNTUK PENGUNJUNG, PELANCONG
Next post PASAR TANI DURIAN DAUN BAWA KONSEP ‘PROMOSI KHAS’ SETIAP MINGGU