Sorting by

×

BOMBA MELAKA PERGIAT PEMERIKSAAN KESELAMATAN DI PREMIS TUMPUAN 

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PAYA RUMPUT 15 Februari – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka mempertingkatkan pemeriksaan aspek keselamatan di premis tumpuan awam, menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarah JBPM Melaka Mohd Zaidi Ma’at berkata, pemeriksaan ditumpukan di premis berkepadatan tinggi seperti pusat beli-belah dan pasaraya bagi memastikan sistem penggera, alat pemadam api serta laluan kecemasan berada dalam keadaan baik.

Beliau berkata, operasi pemeriksaan itu diadakan pihaknya dalam tempoh seminggu sebelum musim perayaan.

“Sebelum orang ramai mula sibuk ke premis berkenaan bagi mendapatkan kelengkapan perayaan kami akan terlebih dahulu turun membuat pemeriksaan bagi memastikan sistem keselamatan dan peralatan pemadaman berada dalam keadaan baik serta berfungsi.

“Pasukan bomba akan pergi ke premis untuk berjumpa serta memberi penerangan kepada wakil premis tentang operasi pemeriksaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Dan Op Siaga Raya Peringkat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka bersempena Karnival Demi Paya Rumput, di PPR Krubong, pada Khamis.

Terdahulu majlis disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan hadir sama Timbalannya Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Menurut Mohd Zaidi, selain itu laluan kecemasan termasuk pintu juga akan dipastikan berada dalam keadaan baik dan dapat digunakan tanpa sebarang halangan sekiranya berlaku sebarang insiden tidak diingini.

“Kita akan meminta pihak pengurusan premis memastikan pintu-pintu yang sering dikunci termasuk pintu kecemasan berada dalam keadaan baik dan tidak terhalang oleh stok barangan jualan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

321
Kongsi :
Previous post KARNIVAL DEMI PAYA RUMPUT SATUKAN KOMUNITI DALAM SUASANA HARMONI