
BUANG SAMPAH: 85 TERMASUK REMAJA DI MELAKA BAKAL JALANI KHIDMAT MASYARAKAT
KLEBANG 13 Mac – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka telah mengenal pasti 85 individu di negeri ini yang melakukan kesalahan membuang sampah kecil setakat semalam.
Pengarah SWCorp Melaka Nor Zaki Md Nor berkata, jumlah itu termasuk termasuk lima remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun, 67 dewasa, selain dua pelancong luar negara dan 10 warga asing yang turut dikesan melakukan kesalahan sama.
Menurutnya, kesemua kesalahan itu bakal mewajibkan mereka menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM).
“Bagi kes melibatkan remaja berusia 15 hingga 18 tahun, mereka akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.
“Manakala baki selebihnya sedang menunggu untuk menjalani pendakwaan, di mana empat individu akan didakwa pada 1 April depan.
“Kebanyakan kesalahan yang direkodkan melibatkan perbuatan membuang sampah kecil seperti puntung rokok, tisu dan plastik pembungkus makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media Strategi Operasi Aidilfitri dan Program Iftar SWM Environment Melaka bersama Agensi Rakan Strategik, Media dan Anak Yatim 2026 di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Mohd Norlisam Mohd Nordin; Pengurus Operasi Wilayah SWM Environment Melaka Khaw Su Aun; Pengurus Kawasan Perkhidmatan SWM Environment Melaka Norariffin Nordin serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Nor Zaki berkata meskipun kesalahan membuang sampah kecil itu kelihatan ringan namun perbuatan itu memberi kesan besar terhadap tahap kebersihan kawasan awam jika dilakukan secara berterusan.
Tambahnya, tindakan juga boleh diambil terhadap individu yang membuang sampah daripada kenderaan bergerak sekiranya terdapat bukti seperti gambar atau rakaman video.
“Orang awam boleh merakam gambar atau video sebagai bukti dan menyalurkannya kepada pihak kami.
“Kami akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mendapatkan maklumat pemilik kenderaan berdasarkan nombor pendaftaran bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


