Sorting by

×

BUFET MAKAN MALAM RAMADAN: EKSKLUSIF DAN UNIK ‘CITARASA TUAH’ DI THE LISBON MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 4 Mac – Berbuka puasa sambil menikmati panorama Perkampungan Portugis dengan latar Selat Melaka pastinya memberikan pengalaman berbeza buat pengunjung yang mahukan kelainan sepanjang Ramadan ini.

The Lisbon Melaka Trademark Collection By Wyndham, hotel bertaraf lima bintang yang terletak di Ujong Pasir, tampil menawarkan pengalaman iftar mewah menerusi bufet makan malam bertemakan ‘Citarasa Tuah’.

Pengarah Kumpulan Pembangunan dan Perniagaan Trinidad Hospitality Sdn Bhd Datuk Zulkifli Mohamad berkata, konsep eksklusif dan elegan yang diketengahkan menggabungkan kepelbagaian sajian tempatan serta antarabangsa dalam suasana mewah namun santai.

6143358123570302620
PENGARAH Kumpulan Pembangunan dan Perniagaan Trinidad Hospitality Sdn Bhd Datuk Zulkifli Mohamad. Foto Iqmal Haqim Rosman

Katanya, keunikan hotel yang lebih dikenali dengan The Lisbon Melaka itu bukan sahaja terletak pada pilihan menu, malah keseluruhan pengalaman menjamu selera yang ditawarkan kepada tetamu.

“Seawal melangkah masuk ke ruang makan, tetamu disambut dengan dekorasi moden berinspirasikan elemen warisan Portugis yang mencerminkan identiti unik hotel ini.

“Susun atur hidangan yang kemas serta pencahayaan lembut mewujudkan suasana tenang dan selesa, sesuai untuk keluarga mahupun majlis korporat.

“Kelainan yang ditawarkan bukan sahaja pada menu, tetapi keseluruhan pengalaman ketika menjamu selera di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Majlis Iftar Bersama Melaka Hari Ini dan Rumah Anak-Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj (RAYSAS) di hotel berkenaan, semalam.

Turut hadir Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini Sdn Bhd Nasharuddin Muhammad serta jemputan lain.

Terdahulu, program iftar itu meraikan anak-anak yatim RAYSAS sebagai sebahagian komitmen hotel terbabit dalam melaksanakan CSR terhadap komuniti setempat.

6140670599324438402
SEBAHAGIAN anak yatim yang diraikan pada majlis berkenaan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Mohd Zulkifli berkata bufet ‘Citarasa Tuah’ menawarkan lebih 100 jenis hidangan merangkumi pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut.

Katanya, antara tarikan utama termasuk aneka lauk kampung serta pilihan pencuci mulut tradisional dan moden.

“Menariknya, menu yang disajikan hampir setiap hari berbeza apabila barisan cef mengetengahkan kreativiti dan kepakaran masing-masing bagi memastikan pelanggan menikmati variasi rasa sepanjang Ramadan.

“Bufet ini ditawarkan pada harga RM98 bagi dewasa dan RM68 untuk warga emas serta kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun, sekali gus menjadikannya antara pilihan berbaloi bagi mereka yang ingin merasai pengalaman berbuka di hotel lima bintang.

“Kalau belum sampai The Lisbon, sebenarnya belum sampai Melaka. Di sini tetamu bukan sekadar datang makan, tetapi menikmati pengalaman berbuka puasa dalam suasana eksklusif yang sukar didapati di lokasi lain,” katanya.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati selain sajian yang menyelerakan, kemudahan surau yang selesa serta ruang makan yang luas menjadikan suasana lebih kondusif untuk tetamu menunaikan ibadah tanpa perlu tergesa-gesa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

349
Kongsi :
Previous post RAMADAN KAREEM ‘FREE MARKET’ TAWAR BAJU RAYA PERCUMA
Next post MELAKA PROMOSI PELANCONGAN DI BERLIN, SASAR TARIK PELANCONG EROPAH