
BUKTI MELAKA UNGGUL SEBAGAI BANDAR PELANCONGAN BERSIH, LESTARI
AYER KEROH 31 Januari – Melaka terus membuktikan keunggulan sebagai destinasi pelancongan unggul apabila sekali lagi menerima pengiktirafan di peringkat serantau.
Ia selepas Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sekali lagi meraih Anugerah ASEAN Tourism Awards 2026 bagi kategori 5th ASEAN Clean Tourist City Award (ASEAN Tourism Standards 2026–2027) buat tahun kedua.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, pengiktirafan itu menjadi bukti bahawa Melaka bukan sahaja kaya dengan sejarah dan budaya, malah turut cemerlang dari sudut kebersihan bandar, pengurusan persekitaran, kelestarian dan kualiti kehidupan bandar yang memenuhi piawaian antarabangsa.
Beliau turut menyifatkan kejayaan itu hasil komitmen dan usaha keras bersama warga MBMB yang diterajui Datuk Bandarnya Datuk Shadan Othman dalam sentiasa memastikan pentadbiran Bandaraya Melaka terus diperkasa.
“Ucapan setinggi-tinggi tahniah dan jutaan terima kasih juga diucapkan buat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, dan tidak dilupakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang sentiasa menyokong usaha PBT dan Kerajaan Negeri Melaka dalam mengembleng pelbagai aspek sehingga mencapai Bandaraya Bertaraf Dunia yang bersih, lestari dan berdaya saing di peringkat ASEAN,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Terdahulu, beliau mewakili Kerajaan Negeri menerima anugerah itu pada majlis yang berlangsung di NUStar Resort, Cebu, Filipina.
Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


