Sorting by

×

BUKTIKAN KEJAYAAN MELAKA SEBAGAI NEGERI BERSIH, SIHAT DAN BEBAS DENGGI

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

SUNGAI UDANG 29 Mei – Seluruh rakyat Negeri Melaka bersama pemimpin setempat dan agensi diminta berganding untuk mempergiatkan program gotong-royong berfasa di kawasan masing-masing pada setiap bulan bagi merealisasikan agenda kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setelah negeri ini membuktikan pelbagai kejayaan dalam sektor pelaburan, pelancongan dan pendidikan, kini kejayaan itu perlu diteruskan dalam menjadikan Melaka sebuah negeri yang bersih, sihat dan bebas denggi.

Jelas beliau, perkara itu perlu dipandang serius ekoran setakat 24 Mei 2025, sejumlah 530 kes denggil dan 16 lokasi wabak telah dilaporkan, di mana daerah Melaka Tengah mencatat bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 347 kes diikuti 124 kes di Jasin dan 59 kes di Alor Gajah.

“Berdasarkan angka ini, kita tidak boleh berdiam diri… Setiap langkah pembersihan dan usaha dalam program gotong-royong ini amat penting dalam memutuskan rantaian pembiakan Aedes.

“Oleh sebab itu, kita menganjurkan program Gotong-royong Mega dengan pelnglibatan pelbagai pihak termasuk penduduk bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar.

“Ini adalah langkah utama bagi memastikan kita semua dapat hidup dalam persekitaran yang sihat dan bebas daripada pembiakan Aedes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Melaka bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Taman Desa Tun Razak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad; Ketua Polis Melaka Dato’ Dzulkhairi Mukhtar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut menyeru seluruh rakyat agar dapat bersama-sama menyertai kempen ‘1 Jam Setiap Sabtu, Ambil Masa Untuk Cari dan Musnah Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes’ yang dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri sebagai usaha kolektif untuk membasmi ancaman denggi hingga ke akar umbi.

“Suka saya berpesan kepada semua, tanggungjawab menjaga kebersihan dan kesihatan persekitaran adalah tanggungjawab kita bersama. Kita tidak boleh bersandar kepada pihak berkuasa semata-mata,sebaliknya, kita perlu bergerak seiring dalam merealisasikan agenda kesihatan untuk kesejahteraan bersama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

708
Kongsi :
Previous post PROGRAM BINA BAHARU, BAIK PULIH KEDIAMAN TANDA KEPRIHATINAN LPM
Next post KEMAHIRAN TVET BUKAN SEKADAR UNTUK ‘MAKAN GAJI’