Sorting by

×

BUKU POKET MADANI BERI MAKLUMAT TEPAT PADA RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Buku Poket MADANI yang dilancarkan hari ini berperanan sebagai sumber rujukan rasmi bagi membantu rakyat memahami pencapaian dan dasar kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penerbitan buku itu penting bagi memastikan maklumat yang tepat dapat disampaikan terus kepada rakyat, khususnya melalui penjawat awam.

“Saya harap semua penjawat awam dapat memahami isi kandungan buku poket ini agar mesej yang ingin disampaikan kerajaan dapat diterjemahkan dengan tepat kepada rakyat.

“Kita perlukan maklumat sahih, kerana maklumat dari media sosial hari ini kebanyakannya mengelirukan dan tidak menepati fakta sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Program Jelajah Taat Setia MADANI Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Datuk Dr. Roslan Hussin; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Menurut Ab Rauf, buku itu juga boleh diakses menerusi imbasan kod QR yang memuatkan keseluruhan isi kandungan untuk rujukan awam.

“Antara kandungan penting yang diketengahkan ialah kejayaan kerajaan menarik pelaburan asing serta usaha mengekalkan kestabilan politik negara.

“Kita memerlukan maklumat yang tepat daripada maklumat yang tersebar melalui media sosial yang kebanyakannya tidak menepati citarasa, ketepatan dan pencapaian diberikan oleh kerajaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

400
Kongsi :
Previous post MELAKA LAKAR LEBIH 100 PENCAPAIAN PENTING
Next post MELAKA SOKONG USAHA PERKUKUH NILAI MADANI – KM