Sorting by

×

BUSANA TRADISIONAL ANGKAT SENI DAN BUDAYA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BANDA HILIR 4 Januari – Kerajaan Negeri mengambil langkah kreatif memartabatkan seni dan budaya tempatan dengan menawarkan kemasukan percuma ke lokasi pelancongan terpilih bagi pengunjung yang mengenakan busana tradisional atau pakaian etnik Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif ini yang dijalankan sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 bukan sekadar menarik pelancong tetapi turut menjadikan pengalaman pelancongan lebih interaktif dan bermakna.

“Dengan memperagakan busana tradisional Melaka, pengunjung bukan sahaja menikmati kemasukan percuma malah turut menyertai usaha memartabatkan seni dan budaya negeri.

“Inisiatif ini dijalankan pada minggu pertama setiap bulan sepanjang tahun 2026 melalui program Melaka Bila Larut Malam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Melaka Bila Larut Malam 3.0 di Perkarangan Stadthuys, di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Antara lokasi pelancongan yang terlibat ialah Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Muzium Sejarah dan Etnografi, Panggung Bangsawan, Kompleks Ayer Panas Gadek, Melaka Heritage Studio, Air Panas Gajah Putih, dan beberapa kawasan lain.

Katanya, langkah ini juga memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai budaya Melaka secara langsung.

“Ini salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan warisan busana tradisional dan etnik negeri terus dipelihara dan dipromosikan di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

551
Kongsi :
Previous post TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0: PENJAWAT AWAM, PASUKAN BERUNIFORM NIKMATI PRODUK PELANCONGAN PERCUMA
Next post MBMB SASAR PENTADBIRAN LEBIH CEMERLANG PADA 2026