
CABARAN 10 KILOMETER MENELUSURI SUNNAH RASULULLAH
BANDARAYA MELAKA 7 September – Lebih 100 peserta mencabar diri dengan menelusuri sunnah dan sirah Rasulullah SAW secara interaktif melalui Program Explorace Jejak Rasul @ MAIM 2025.
Program yang julung kali dianjurkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu bersempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat berkata, program ini membawa pendekatan baharu dalam memperingati Maulidur Rasul dengan menggabungkan elemen riadah, ilmu dan dakwah.
“Peserta perlu menempuh cabaran sejauh kira-kira 10 kilometer (km) yang dibahagikan kepada empat ‘checkpoint’ sekitar Bukit Baru.
“Setiap checkpoint mempunyai tugasan berkaitan sunnah dan sirah Rasulullah SAW, sekali gus mengajak peserta mendalami kisah perjuangan Baginda dengan lebih dekat dan dengan cara menyeronokkan,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas majlis pelepasan peserta program berkenaan di Dataran Masjid Al-Azim, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.
Menurut Md Azhan, setiap kumpulan diberikan masa 10 minit di setiap checkpoint untuk menyelesaikan cabaran yang telah ditetapkan.
“Selain itu, program ini turut memperkenalkan produk-produk Baitulmal MAIM sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan peranan dan fungsi MAIM kepada masyarakat.
“Sebanyak 20 kumpulan yang menyertai program ini perlu berjalan kaki sehingga selesai semua tugasan di ‘checkpoint’ diberikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.