Sorting by

×

CABARAN GLOBAL JEJASKAN DAYA SAING, MALAYSIA TAMPIL MODEL PELANCONGAN MAMPAN

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BANDA HILIR 27 September – Malaysia mengakui sektor pelancongan berdepan cabaran getir termasuk ‘over-tourism’, kesesakan bandar warisan dan pelaburan tidak seimbang yang menjejaskan daya saing negara peringkat global.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata walau bagaimanapun, pada masa sama Malaysia berjaya menampilkan beberapa model kejayaan pelancongan mampan yang menjadi contoh dunia.

Katanya, kelemahan infrastruktur serta kesiapsiagaan perkhidmatan antara faktor yang menyumbang kepada penurunan kedudukan Malaysia dalam ‘Travel & Tourism Development Index’, iaitu dari tangga ke-27 pada 2019 kepada tangga ke-35 pada 2024.

“Pertumbuhan sahaja tidak lagi mencukupi. Kita mesti segera bertindak melindungi ekosistem, mengurangkan kesesakan, menyebarkan aliran pelawat serta memastikan nilai pelancongan kekal dinikmati masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Agung Pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Tourism), Zurab Pololikashvili dan kenamaan lain.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Rahman Abdul Razak bersama barisan Exco serta Timbalan Exco.

Mengulas lanjut, King Sing berkata meskipun begitu, beliau menegaskan Malaysia turut membuktikan pelaksanaan sebenar transformasi pelancongan mampan melalui beberapa projek yang kini diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Antaranya, Homestay Miso Walai di Sabah melindungi ekosistem hutan hujan sambil menyokong lebih 350 keluarga, manakala The Habitat Penang Hill di Pulau Pinang menyalurkan semula hasil pelancongan kepada usaha pemuliharaan dan latihan.

“Selain itu, Penang Heritage Trust berjaya memelihara warisan hidup, manakala Mersing bakal menjadi lokasi ‘Sustainable Tourism Observatory’ pertama Malaysia yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Ujarnya, kejayaan itu jelas menunjukkan Malaysia tidak sekadar bercakap mengenai transformasi, sebaliknya sedang melaksanakannya secara nyata demi masa depan sektor pelancongan yang lebih inklusif, lestari dan berdaya tahan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

458
Kongsi :
Previous post MALAYSIA MEMBANGUNKAN SEKTOR PELANCONGAN SECARA INKLUSIF DAN MAMPAN
Next post BELANJAWAN 2026 FOKUS RINGANKAN BEBAN RAKYAT, PERKUKUHKAN EKONOMI NEGARA