
CADANG TUBUH KELAB KONDA KONDI DI SEKOLAH
BANDA HILIR 14 Julai – Konda kondi yang kini menjadi fenomena di Negeri Melaka seharusnya diperluas ke peringkat sekolah agar ia dapat dilestarikan secara berterusan.
Pandangan itu disuarakan guru subjek Matematik serta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2, Tengku Muzhafar Hanis Tengku Mahmood, 42.
Dia yang berjaya membawa pasukannya merangkul gelaran juara pada Pertandingan Konda Kondi Negeri Melaka 2025 sempena Rentak Bertandak Antarabangsa berpandangan, alangkah baik sekiranya sekolah-sekolah di negeri ini menubuhkan sebuah kelab khas bagi sukan tersebut.
Menurutnya, ia memandangkan sukan itu bukan sahaja menguji fizikal dan ketangkasan tetapi juga kemampuan berfikir aras tinggi.
“Kalau ikutkan memang ada dalam silibus PJPK Tahun 5 tetapi apabila diadakan pertandingan seperti ini maka kita dapat bermain konda kondi dengan lebih serius dan bukan sekadar suka-suka.
“Pemain-pemain saya kebanyakannya adalah pelajar cemerlang kerana tuntutan permainan ini juga memerlukan mereka berfikir dan atur strategi.
“Dengan kemenangan ini, Insya-Allah kemungkinan kita akan memperkenalkan permainan ini dalam kelab dengan harapan pihak sekolah boleh melahirkan ramai pelapis untuk mengharumkan nama Melaka pada masa akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Tengku Muzhafar ditemui selepas Majlis Pengumuman Pemenang Pertandingan Konda Kondi Negeri Melaka 2025 sempena Rentak Bertandak Antarabangsa disempurnakan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad, baru-baru ini.
Sementara itu, salah seorang pemain SK Tanjung Minyak 2, Ahmad Furqan Ahmad Fuad, 12 menyatakan keterujaan bermain sukan itu pada acara besar seperti Rentak Bertandak Antarabangsa.
Dia juga berharap agar pertandingan seumpamanya akan diperluaskan lagi pada masa akan datang.
“Seronok sebab sebelum ini main dekat sekolah sahaja. Selepas ini harap pertandingan konda kondi seperti ini dianjurkan lagi supaya kawan-kawan lain boleh sertai bersama-sama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.