
CAJ TAPAK WARISAN MELAKA UNTUK PELANCONG ANTARABANGSA TIDAK MEMBEBANKAN
SERI NEGERI 8 Disember – Pengenalan World Heritage Conservation Fee atau caj pemuliharaan tapak warisan untuk pelancong antarabangsa ke Melaka bermula tahun depan diyakini tidak menjejaskan sektor pelancongan negeri ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, ia memandangkan caj berkenaan bukanlah perkara baharu, sebaliknya diamalkan di banyak negara berkait pelancongan.
Beliau menjelaskan, caj yang dikenakan Melaka juga adalah tidak membebankan iaitu hanyalah RM60 (USD15) kepada dewasa dan RM40 (USD 10) untuk kanak-kanak.
“Mengambil contoh Anchor Watt, Kemboja caj tapak warisan yang dikenakan adalah USD62; Peru mengenakan USD45; Bhutan USD100, malah Borobudur, Indonesia mengenakan USD25 atau bersamaan RM120.
“Jadi, pengenalan caj ini bukanlah satu perkara baharu dan kita akan sentiasa memastikan pendekatan mesra pelancong yang diperkenalkan pada Bajet Negeri Melaka 2026 ini tidak membebankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Razak menjelaskan, caj yang dikenakan itu dikembalikan untuk memastikan pemuliharaan kawasan tapak warisan dunia, khususnya di Banda Hilir dapat dijaga dan diselenggara dengan sebaiknya.
“Menerusi caj ini, kita akan menerima hasil yang baik untuk sektor pelancongan dan ia akan digunakan untuk kerja-kerja pemuliharaan tapak warisan dunia UNESCO.
“Secara tidak langsung, ini dapat memelihara dan memulihara kawasan-kawasan sejarah di negeri ini dan seterusnya meningkatkan imej Melaka sebagai negeri pelancongan,” tambah beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


