Sorting by

×

‘CAKNA’ PERKASA ALUMNI UNIVERSITI AWAM, 473 PROGRAM DISATUKAN

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 2 Februari – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh peranan alumni sebagai rakan strategik pembangunan pendidikan tinggi negara menerusi pelancaran Program Jaringan Alumni Prihatin (CAKNA).

CAKNA telah dilancarkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman bersempena Mesyuarat Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MALUMNI) Bilangan 1 Tahun 2026 yang dihoskan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM).

Program itu merupakan inisiatif strategik yang menekankan penglibatan alumni secara lebih menyeluruh, berempati dan berimpak melalui teras Cakna, Aspirasi, Kebajikan, Nilai dan Alumni, sekali gus menyatukan pelbagai program kendalian Pusat Alumni universiti awam di bawah satu kerangka nasional yang bersepadu.

Menurut Prof. Dr. Azlinda, pelaksanaan CAKNA adalah selari dengan Fokus Keenam Tujahan Kementerian Pendidikan Tinggi 2026, iaitu Alumni Back To Campus, yang menekankan peranan alumni sebagai penyumbang aktif dalam pembangunan universiti, pemerkasaan pelajar dan kebajikan komuniti kampus.

“Sebanyak 473 cadangan program di bawah CAKNA merangkumi pelbagai bentuk penglibatan alumni termasuk program kebajikan dan kesukarelawanan, perkongsian kepakaran, bimbingan kerjaya, sumbangan dana serta pemerkasaan nilai dan jaringan strategik bersama industri dan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MALUMNI, Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, pelaksanaan CAKNA mencerminkan komitmen berterusan MALUMNI dalam menyatukan peranan alumni universiti awam secara lebih tersusun, inklusif dan berimpak di peringkat nasional.

Menurut beliau, penyelarasan program-program di bawah payung CAKNA akan membolehkan data, impak dan sumbangan alumni direkod serta diperkasakan secara kolektif, sekali gus menyokong aspirasi Fokus Keenam Tujahan KPT 2026: Alumni Back To Campus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

329
Kongsi :
Previous post MAIM PERUNTUK RM19 JUTA BAGI PEMBANGUNAN MUALAF 2026
Next post AMANAH, PASAK KECEMERLANGAN PERKHIDMATAN AWAM NEGERI MELAKA