
CAPAI KEMAJUAN 50 PERATUS, RTB DI MELAKA BERFUNGSI DENGAN BAIK KURANGKAN BANJIR
PAYA RUMPUT 8 Mac – Beberapa projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Negeri Melaka kini telah mencapai kemajuan fizikal lebih 50 peratus dan berfungsi dengan baik dalam mengurangkan impak banjir di lokasi panas di negeri ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, setakat ini, sebanyak tujuh projek RTB telah bermula membabitkan peruntukan lebih RM1 bilion daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi (PETRA).
Jelas beliau tujuh RTB itu adalah RTB Alor Gajah Fasa 1 Kampung Tebat; RTB Sungai Melaka Fasa 1 Durian Tunggal; Projek Menaiktaraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal sebagai Kolam Dwi Fungsi untuk Tebatan Banjir dan Sumber Air Melaka; RTB Sungai Duyong; RTB Bandar Merlimau; RTB Bandar Jasin dan RTB Sungai Putat.
Selain itu, ujar beliau satu lagi RTB terbaharu telah diluluskan tahun lalu iaitu RTB Sungai Baru, Masjid Tanah dengan peruntukan hampir RM400 juta.
“Melihat kepada impak RTB ini walaupun belum siap sepenuhnya, kita dapati sudah makin berkurang kawasan-kawasan yang terjejas banjir seperti sebelum ini.
“Mengambil contoh RTB Sungai Duyong, ia bukan sahaja membantu masalah banjir di kawasan Duyong sahaja tetapi ia melepasi beberapa kawasan lain hinggalah ke Bemban di daerah Jasin.
“Begitu juga projek RTB di Krubong dan Durian Tunggal yang mana impaknya memberi kelegaan kepada 10,000 penduduk yang sebelum ini sering dibelenggu masalah banjir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Upacara Menaikkan Kubah Menara Kompleks As Solihin, Kampung Paya Rumput, di sini, baru-baru ini.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, selain RTB, masalah banjir yang semakin berkurang di negeri ini juga merupakan hasil usaha berterusan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka dalam membersihkan sungai-sungai sebelum tibanya musim hujan.
Selain itu, beliau turut memuji tindakan proaktif wakil rakyat yang tidak pernah berhenti memperjuangkan masalah banjir di kawasan masing-masing dan sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi dan jabatan berkaitan bagi menyelesaikan isu rakyat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


