Sorting by

×

CAPTAIN CRUISE TAWAR PENGALAMAN UNIK BUAT KANAK-KANAK

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LINGGI 6 Jun – Pakej Captain Cruise diperkenalkan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menawarkan pengalaman menarik untuk kanak-kanak termasuk peluang menjadi jurumudi bot.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, sejak diperkenalkan Februari lalu, pakej itu mendapat sambutan amat menggalakkan dalam kalangan murid sekolah sekitar Melaka dan negeri luar.

“Beberapa modul diketengahkan menerusi pakej ini yang antaranya peserta atau kanak-kanak diajar mengenal papan tanda, cara mengikat tali, membaca kompas, aspek keselamatan ketika dalam bot dan cara mengemudi bot dengan betul.

“Modul Captain Cruise turut diselitkan unsur sejarah dengan mengangkat kehebatan tokoh pelayaran Melayu iaitu Panglima Awang yang dikatakan sebagai manusia pertama mengelilingi dunia,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke Sungai Linggi, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, Rabu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad, barisan Exco, Timbalan Exco dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh.

Menurut Shaharul Azuar, pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka bagi menjadikan Captain Cruise sebagai antara silibus pembelajaran luar bilik darjah.

“Kita bersedia untuk bekerjasama dengan sekolah bagi menjadikan Captain Cruise sebagai silibus pembelajaran luar bilik darjah dan kini sedang menunggu maklum balas daripada pihak kementerian untuk tindakan lanjut.

“Boleh katakan setiap bulan kita menerima penyertaan sekolah-sekolah termasuk dari luar Melaka untuk mengikuti pakej Captain Cruise ini,” katanya.

KETUA Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memakaikan topi kepada murid sekolah yang mengikuti program Captain Cruise sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Pengkalan Batu di MBMB SDG Park, Plaza Melaka Sentral pada Februari lalu. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

900
Kongsi :
Previous post LOJI RAWATAN AIR JUS FASA 2 LERAI DILEMA PENDUDUK KAMPUNG
Next post HERNIA INGUINAL: GEJALA DAN SIMPTOM