Sorting by

×

CAR FREE ZONE @ALOR GAJAH BERI TEMPIAS KEPADA PENIAGA, PENGUNJUNG PUAS HATI

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

ALOR GAJAH 3 Jun – Golongan peniaga antara yang menerima tempias hasil daripada penganjuran Hari Tanpa Kenderaan atau Car Free Zone @Alor Gajah di Dataran Keris, Alor Gajah, pada Sabtu terakhir setiap bulan.

Pengusaha perkhidmatan kenderaan rekreasi untuk kanak-kanak, Rahimah Ibrahim, 43, berkata, pendapatannya meningkat setiap kali pelaksanaan inisiatif Car Free Zone @Alor Gajah berbanding hari biasa.

Katanya, bagi memenuhi peningkatan jumlah pengunjung yang agak mendadak dan melancarkan urusannya, dia terpaksa menggaji beberapa pekerja tambahan bagi membantunya.

Rahimah berkata, pengunjung bukan sahaja dalam kalangan penduduk sekitar Alor Gajah atau daerah bersempadan di Negeri Sembilan, tetap turut melibatkan pelancong domestik datang dari Selangor, Kuala Lumpur dan Kelantan.

“Alhamdulillah, ada peningkatan pendapatan untuk saya yang dapat dikongsi dengan beberapa pembantu, meskipun sibuk melayan pelanggan tetapi saya berasa puas, inisiatif ini amat membantu peniaga seperti saya.

“Kebiasaannya pengunjung akan mula ramai sekitar selepas Isyak, memang tidak padat seperti tempat lain, tetapi boleh nampak peningkatan jumlah kedatangan orang ramai setiap kali inisiatif ini dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pada penganjuran Hari Tanpa Kenderaan atau Car Free Zone @Alor Gajah di Dataran Keris, Alor Gajah, Sabtu lalu.

Sementara itu pengunjung, Nurul Nabila Zabri, 38 dari Tampin amat menyokong, inisiatif dilaksanakan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) itu kerana ia secara tidak langsung menyediakan lokasi santai kepada penduduk sekitar.

Katanya, Dataran Keris sebagai pusat bagi penganjuran inisiatif itu juga dilengkapi kemudahan untuk aktiviti riadah khusus buat pengunjung datang bersama keluarga dan gerai menawarkan aneka hidangan serta minuman selain cenderahati.

“Jika mahu ke lokasi tarikan lain di Bandar Melaka bagi saya agak jauh, berikutan itu Dataran Keris adalah pilihan penduduk sekitar. Tetapi mungkin MPAG boleh susun atau tambah aktiviti untuk menggamit lebih ramai pengunjung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1270
Kongsi :
Previous post ‘FENOMENA’ FAN BINGBING BERI IMPAK BESAR KEPADA PELANCONGAN MELAKA
Next post PERKUKUH MELAKA SEBAGAI DESTINASI INDUSTRI PELANCONGAN MARITIM SERANTAU