Sorting by

×

CEMBURU DIPERCAYAI MOTIF LELAKI BANGLADESH BUNUH RAKAN SENEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

JASIN 15 Oktober – Cemburu selepas mengesyaki rakan mempunyai hubungan sulit dengan isterinya, dipercayai punca seorang lelaki warga Bangladesh membunuh rakan senegaranya dalam kejadian di rumah sewa mereka di Durian Tunggal, di sini, semalam.

Ketua Polis Melaka, Dato’ Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa kemudian dipercayai mengunci diri dalam sebuah bilik di rumah berkenaan sebelum nekad menggantung diri.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 7 malam itu disedari seorang rakan kedua-dua mangsa juga warga Bangladesh yang baharu sahaja berpindah masuk ke rumah sewa berkenaan.

“Rakan mangsa yang baru sahaja pulang dari tempat kerja mendapati pintu rumah dalam keadaan berkunci, menambah lagi perasaan curiganya apabila panggilannya yang beberapa kali tidak bersahut.

“Dia kemudian meminta bantuan jiran untuk masuk ke dalam rumah menerusi tingkap dan menemukan seorang rakannya dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring berlumuran darah di bahagian dapur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan, hasil pemeriksaan menemukan dua mayat iaitu di bahagian dapur manakala seorang lagi tergantung dalam bilik berkunci di rumah sama.

“Hasil siasatan kami tidak menolak kemungkinan suspek berusia 31 tahun membunuh mangsa berusia 42 tahun menggunakan parang dan pisau sebelum menggantung diri dalam bilik. Berdasarkan pemeriksaan pula menemukan 21 kesan tikaman pada badan dan kepala mangsa.

“Kecederaan itu dipercayai berpunca daripada parang dan pisau yang ditemui di lokasi kejadian. Sementara itu jiran mendakwa mendengar bunyi pertengkaran antara kedua-dua warga Bangladesh berkenaan sebelum keadaan tiba-tiba menjadi senyap,” katanya.

Mengulas lanjut Dzulkhairi berkata, pemeriksaan dijalankan di rumah sewa berkenaan juga tidak menemukan sebarang kesan pecah masuk atau umpil dan ketiga-tiga mangsa bekerja di sebuah syarikat kontraktor tempatan antara lima hingga enam tahun lalu.

“Isteri suspek iaitu wanita warga Indonesia dipercayai melarikan diri bersama seorang anak mereka sebelum kejadian, kami ketika ini sedang mengenal pasti identiti wanita berkenaan. Mangsa juga sudah berkahwin dan isterinya kini berada di Bangladesh, kes disiasat mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

464
Kongsi :
Previous post PENDUDUK LEGA ISU BANJIR KILAT SEMAKIN BERKURANGAN
Next post WRUR: DEEPAVALI DISAMBUT DENGAN SENYUMAN