
CERIAKAN SEMULA TAMAN REKREASI SUNGAI UDANG
LENDU 20 Mei – Usaha untuk menceriakan semula Taman Rekreasi Sungai Udang, di sini, diharap dapat dilaksanakan segera, sekali gus menyediakan suasana riadah yang lebih selesa dan kondusif kepada orang ramai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, hasil lawatan beliau ke taman rekreasi itu 17 Mei lalu, mendapati banyak kemudahan dalam keadaan uzur akibat tidak diselenggara dengan baik.
Katanya, semakan dilakukan pula mendapati taman rekreasi terletak dalam kawasan Hutan Simpan Sungai Udang itu adalah dibawah tanggungjawab Jabatan Perhutanan Negeri Melaka.
“Ada juga kemudahan baharu disediakan jabatan perhutanan, terima kasih atas inisiatif dilaksanakan, tetapi diharap dapat melihat semula fasiliti yang sudah uzur, selain aspek penyelenggaraan semak dan kebersihan persekitaran taman rekreasi ini perlu dijalankan secara berkala.
“Anggaran setiap hari 100 pengunjung singgah ke taman ini dan ada yang membawa kanak-kanak, apa yang merisaukan saya adalah kehadiran haiwan berbisa akibat persekitaran yang tidak diselenggara dengan baik,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Guru Dan Murid DUN Lendu serta penyerahan sumbangan kek bersempena Sambutan Hari Guru di SK Durian Daun, di sini, semalam.
Sulaiman berkata, selain menawarkan persekitaran riadah dalam suasanan hutan yang menyegarkan, taman rekreasi itu juga memiliki tarikan seperti taman herba dan kemudahan lain seperti laluan joging, denai hutan, surau serta tandas.
Lawatan ke Taman Rekreasi Sungai Udang adalah sebahagian daripada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Lendu dari 18 hingga 31 Mei ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.