
CUACA PANAS: ELAK PEMBAKARAN TERBUKA
PAYA RUMPUT 22 Mac – Orang ramai di negeri ini diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang selain berisiko mencetuskan kebakaran besar ketika cuaca panas dan berangin.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, tindakan tegas termasuk denda boleh dikenakan terhadap individu yang ingkar arahan terbabit.
Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini telah mengeluarkan peringatan kepada orang ramai supaya mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
“Situasi cuaca tidak menentu ketika ini meningkatkan risiko api merebak dengan pantas, sekali gus mengancam keselamatan awam dan harta benda.
“Justeru, saya berharap seluruh rakyat Melaka supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di perkarangan Stadium Hang Jebat di sini hari ini.
Majlis itu turut diserikan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Isterinya Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abd Aziz.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata,
Kerajaan Negeri bersama jabatan serta agensi berkaitan sentiasa bersiap siaga menghadapi kemungkinan seperti musim kemarau, selain terus memantau keadaan semasa bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin.
“Saya yakin semua pihak sudah diingatkan supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, namun kita juga berdoa supaya Melaka sentiasa berada dalam keadaan sejahtera,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


