Sorting by

×

CUNGKIL BAKAT GURU DALAM TEKNIK MEWARNA KRAYON

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

DUYONG 25 Mei – Perpustakaan Desa Taman Seri Duyong Melaka mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Program Kursus Teknik Mewarna Krayon bersama guru Tabika Perpaduan.

Program itu turut melibatkan kolaborasi bersama Kolej Komuniti Jasin (KKJS) Melaka, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Duyong serta Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, program yang berlangsung selama dua hari itu bukan sahaja mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta, malah turut berkesan mencungkil bakat para guru dalam bidang seni lukisan.

Katanya, bakat seni perlu digilap secara berterusan bagi melahirkan lebih ramai penggiat seni dalam kalangan para guru dan seterusnya ilmu itu dapat dicurahkan bagi mengembangkan potensi anak murid.

“Kita lihat para guru sangat berbakat dalam menghasilkan karya seni mereka dan bagi saya ia amat unik dan boleh diketengahkan untuk menghasilkan karya yang lebih baik pada masa akan datang.

“Bakat yang ditonjolkan ini perlu dicungkil lagi menerusi pelbagai program atau aktiviti secara berterusan kerana apa yang dilihat kebanyakan guru tadika sangat berbakat dalam seni lukisan,” katanya pada Majlis Penutup Kursus Teknik Mewarna Krayon di Perpustakaan Desa Taman Seri Duyong, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Kolej Komuniti Jasin, Ts. Suzarina Suboh menyatakan bahawa para peserta yang hadir mempunyai bakat yang unik dan dapat diketengahkan menerusi pelbagai program yang dirancang untuk menggilap bakat seni ke arah yang lebih baik.

“Peserta kali ini sangat kreatif dan mereka sangat berbakat dalam berkarya serta amat rugi jika dibiarkan begitu sahaja tanpa pelbagai aktiviti berterusan untuk mengasah bakat yang sedia ada.

“Bagi memperkasa cabang seni ini, pihak Kolej Komuniti Jasin Melaka mempunyai perancangan untuk menyertai Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bagi DUN Bemban dan Duyong yang akan diadakan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

553
Kongsi :
Previous post ‘TERIMA KASIH SENTIASA HARGAI KAMI’ – PEKERJA KONICA MINOLTA
Next post SATU DEKAD, KONICA MINOLTA TERUSKAN LEGASI