
CUTI SEKOLAH: KOLEJ KOMUNITI JASIN BANTU PROMOSI STEM
JASIN 6 Jun – Pelbagai usaha dan program dijalankan Kolej Komuniti Jasin (KKJ) dalam menarik minat murid sekolah dalam cabang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Pengarah KKJ, Sr. Mohamad Kelana Juwit berkata, pembudayaan STEM perlu diperluaskan supaya murid mempunyai pengetahuan dan maklumat mengenai bidang ini.
“Untuk itu di pihak KKJ bersempena cuti sekolah ini kita telah menganjurkan Kursus STEM Renewable Energy Solar: DIY Car For Kids yang membabit seramai 20 peserta sekolah rendah.
“Menerusi kursus dianjurkan ini peserta bukan sahaja menerima manfaat berkaitan program diadakan malah dapat berkongsi idea dalam menghasilkan sesuatu.
“Dengan langkah awal seperti penganjuran kursus ini ia dapat menarik minat sekaligus memberi penekanan serta kepentingan bidang STEM yang begitu meluas,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kursus STEM Renewable Energy Solar: DIY Car For Kids, di Kolej Komuniti Jasin, di Merlimau, baru-baru ini.
Menurutnya, cara pendekatan yang dibawakan juga memainkan peranan supaya murid atau pelajar dapat pengetahuan jelas dalam empat bidang ini yang mempunyai peluang kerjaya amat luas.
“Bidang ini menawarkan pelbagai peluang kerjaya amat luas selain diperlukan dalam pelbagai industri dan menjadi kerugian besar sekiranya pendidikan STEM ini tidak diberikan penekanan.
“Justeru itu, KKJ tampil dalam membantu untuk terus membudayakan STEM ini dengan harapan dapat menarik minat lebih ramai anak muda ceburi bidang STEM,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.