Sorting by

×

‘DARIPADA DITIMANG HINGGA KE LIANG LAHAD’ DAPAT MANFAAT BAJET NEGERI MELAKA 2026

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

SERI NEGERI 5 Disember – Bajet Negeri Melaka 2026 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri, hari ini, memberi tumpuan kepada segenap lapisan masyarakat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut beliau, daripada bayi hingga warga emas mendapat manfaat tersebut menerusi 204 inisiatif yang dibentangkan.

“Bajet 2026 ini berpaksikan ‘Melaka Sayang Rakyat (MeSRa)’, di mana ‘From Cradle To Grave’ atau dari ditimang hingga ke liang lahad menerima manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026 yang bertemakan ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’ sempena Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad dan Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh.

Menurut Ketua Menteri, antara peruntukan terbesar di bawah inisiatif MeSRa adalah kebajikan rakyat dengan memberi tumpuan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.

Selain itu, katanya, pemerkasaan di bawah syiar Islam turut menerima antara peruntukan terbesar bagi tahun 2026.

“Buat julung kali, Bajet 2026 mengumumkan bantuan kepada peniaga menerusi sewaan premis kerajaan percuma selama satu bulan.

“Malah, nelayan turut merasa nikmat bajet ini dengan peruntukan RM1 juta bagi pembelian peralatan nelayan.

“Guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) turut menjadi penerima manfaat terbesar menerusi kenaikan kadar elaun RM 1,700, serta meneruskan elaun cuti bersalin,” katanya.

Menurut Ab Rauf, buat julung kalinya juga, Kerajaan Negeri berbesar hati menghadiahkan RM500 secara sekali bayar kepada pengamal media di negeri ini yang disifatkan sebagai jambatan penghubung di antara kerajaan dan rakyat.

Manakala, seperti kebiasaan, ujar beliau, penjawat awam negeri turut menerima tempias menerusi Bantuan Khas Kewangan setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 pada hujung tahun ini dan ditambah lagi dengan pemberian RM500 yang akan dibayar pada Mac tahun depan.

“Pada masa sama insentif khas bagi penjualan unit hartanah kuota Melayu (Kod A) yang tidak terjual kepada pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat di Negeri Melaka bagi pembelian rumah pertama merangkumi pengecualian fi urus niaga pindah milik; pengecualian kebenaran pindah milik dan gadaian serta diskaun 5 peratus kepada OKU bukan Melayu dan diskaun 10 peratus kepada OKU Melayu.

“Kerajaan Negeri juga berbesar hati menyediakan parkir percuma pada Hari Raya Aidilfitri selama tujuh hari, manakala perayaan Deepavali, Tahun Baru Cina serta Krismas selama dua hari di semua lot letak kenderaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.7 juta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

315
Kongsi :
Previous post MELAKA UMUM INSENTIF KHAS RM500 UNTUK PENGAMAL MEDIA
Next post MELAKA WAJIBKAN TAG HAIWAN TERNAKAN BERMULA 2026